'Mohamad Khir tak payah 'comeback', 'go back' sahaja'

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil; Jamal
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil; Jamal
A
A
A

SUNGAI BESAR - [DIKEMAS KINI] Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyarankan kumpulan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo fokus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jamal berkata, soal kemenangan dalam PRU15 lebih penting berbanding mencari strategi untuk meletakkan Mohamad Khir sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Besar.

"Saya tidak mahu komen tentang itu, sebaliknya ingin memberi kenyataan (Mohamad Khir) tak payah 'comeback', terus 'go back' sahaja," katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan harga ikan di Pasar Awam Sungai Besar di sini pada Ahad.

Jamal berkata, kepimpinan UMNO bahagian itu pada masa ini tidak fikir soal calon, tetapi ingin memastikan gerak kerja parti itu berjalan lancar bagi menghadapi dan memenangi PRU15.

Jelas beliau, sebagai ahli parti, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan menentukan calon untuk bertanding dalam PRU15.

"Saya telah mengaktifkan jentera pilihan raya sebaik sahaja diberi arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) Ke-48 beberapa hari lepas," ujar beliau.

Jamal berkata, beliau telah memanggil seramai 300 wanita bahagian itu untuk diberikan taklimat dan gerak kerja sayap terbabit.

"Saya bertegas dan memberi amaran kepada seluruh ahli UMNO sama ada berjawatan dan tidak, jangan sesekali cuba memecahbelahkan perpaduan antara ahli untuk menghadapi PRU15," jelasnya.

Sinar Harian pada 29 Mei lalu melaporkan, Mohamad Khir menyatakan hasrat untuk menjadi calon BN bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU15.

Mohamad Khir berkata, hasrat itu bertujuan merampas dan mengembalikan semula kerusi Parlimen Sungai Besar kepada UMNO selepas dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.