X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

PRU15: Mohamad Khir berhasrat tanding di Parlimen Sungai Besar

Mohamad Khir
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyatakan hasrat untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamad Khir, berkata, hasrat itu bertujuan merampas dan mengembalikan semula kerusi Parlimen Sungai Besar kepada UMNO selepas dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.

Katanya, kerusi itu mampu dimenangi BN berdasarkan kepada penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.

"Niat saya bertanding kerana hanya mahu memastikan kemenangan parti (UMNO), namun saya menyerahkan segala keputusan itu kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Aidilfitri di kediamannya di Simpang Lima, Sungai Besar di sini pada Ahad.

Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, mahu menggunakan pengalaman bagi membantu jentera pilihan raya UMNO.

Katanya, UMNO perlu bangkit dan melakukan sesuatu selepas kalah tiga penggal di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Apa yang penting adalah kepentingan rakyat yang perlu terus diperjuangkan terutama selepas pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini," ujarnya.

Mengulas mengenai ura-ura Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut disebut bertanding di Sungai Besar, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada pimpinan parti untuk menilainya.

Katanya, secara peribadi beliau tidak mengenal secara dekat Tengku Zafrul namun jika diketengahkan sebagai calon, maka sewajarnya perlu menyokong bagi memastikan kerusi UMNO kembali kepada BN.

"Saya ingin tegaskan jika beliau terpilih (bertanding), kita perlu pastikan kerusi itu menang nanti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!