Tindakan segera kepada kepercayaan inkarnasi: Mufti

 Wan Salim Wan Mohd Noor
Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

GEORGE TOWN - Pihak berkuasa agama Islam digesa untuk mengambil tindakan segera bagi mencegah kepercayaan kepada inkarnasi, iaitu perpindahan roh seorang yang telah meninggal dunia kepada seorang lain yang hidup, daripada menyusup ke dalam masyarakat Islam negara ini.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan segera itu perlu dibuat, berikutan tular video seorang pendakwah bebas berhubung kandungan ceramahnya yang menyebut mengenai perpindahan roh kepada jasad manusia yang masih hidup.

"Kepercayaan kepada inkarnasi iaitu perpindahan roh seorang yang telah meninggal dunia kepada seorang lain yang hidup adalah karut dan merupakan satu perkara khurafat, yang tidak bersandar kepada sebarang dalil, ia dipegang oleh penganut agama Hindu, Buddha, kaum Maya di Amerika Latin, beberapa golongan Syiah di Lubnan dan Syria, juga oleh tarikat tadauf tertentu yang ekstrem.

"Sehubungan itu, saya minta pihak berkuasa agama Islam termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama negeri hendaklah memandang serius tentang isu ini dan ambil tindakan segera bagi mencegahnya,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas video berdurasi lebih 10 minit, di mana pendakwah bebas itu menyatakan bahawa gurunya pernah menyebut contoh bahawa Allah mencipta roh yang boleh berpindah-pindah.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, berdasarkan perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah, inkarnasi adalah satu akidah yang palsu dan menyeleweng daripada landasan agama Islam yang sebenar, kerana bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabawiyah.

Katanya, malah menurut ajaran Islam roh tidak berpindah dari satu jadad ke jasad yang lain kerana roh seseorang adalah khusus untuk dirinya sahaja dan tidak dikongsi oleh sesiapapun selepas kematiannya, tiada dalil yang menyokong akidah yang palsu ini.

"Umat Islam diingatkan bahawa kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib atau metafizika mestilah bersandar kepada dalil yang sahih, sedangkan kepercayaan kepada penjelmaan roh ini tiada dalil sama sekali sama ada daripada ayat al-Quran mahupun sunnah yang sahih,” katanya.

Beliau berkata menurut Islam, roh seseorang bermula ketika ia berada di dalam rahim ibunya dan setelah berpisah dengan jasad disebabkan kematian, roh berpindah ke alam barzakh sebelum dibangkitkan serta disatukan semula dengan jasadnya pada hari kiamat, seterusnya akan berakhir di syurga atau neraka.

Menurutnya sesiapa yang cuba menyebarkan akidah yang sesat itu kepada masyarakat Islam, perlu diberi amaran dan jika terus berdegil maka hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diadili menurut undang-undang sedia ada.

"Selain itu, individu tersebut juga perlu disekat daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid atau surau, demi memelihara akidah umat Islam daripada kesesatan kerana terpengaruh dengan ajaran karut berkenaan,”' katanya. - Bernama