MBM saran GST dikembalikan pada kadar tiga peratus

Syed Osman
Syed Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar tiga peratus bagi Keluarga Malaysia sekiranya sistem percukaian itu kembali dilaksanakan kerajaan.

Naib Presidennya, Datuk Syed Osman Mohamed berkata, ia adalah satu kadar terbaik ketika ini dan sebagai salah satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

"MBM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST.

"GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara, dalam masa sama membantu kebajikan rakyat khususnya golongan belia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selasa lalu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan mungkin akan mengembalikan GST bagi menambah pendapatan negara untuk menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Osman yang juga Pengerusi Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan MBM berkata, sistem pencukaian itu dilihat mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

"GST mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

"Kutipan hasil GST boleh dikembalikan kepada B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar oleh rakyat.

"Dengan adanya GST, kerajaan dijangka akan mendapat hasil hampir RM20 bilion setahun, berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Ia merupakan satu kesilapan kerana tiada negara di dunia yang mengguna pakai sistem GST kepada SST melainkan negara ini," katanya.

Justeru itu, tegas beliau, MBM menyokong penuh hasrat kerajaan mengembalikan GST dan dalam masa sama meminta kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggerakkan usaha mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang sudut positif sistem pengutipan cukai yang lebih telus itu seterusnya mampu mengawal harga barang.

Syed Osman berkata, MBM juga menyarankan apabila GST diperkenalkan semula, kerajaan hendaklah memperbanyakkan lagi program-program subsidi bersasar.

Menurut beliau, ia termasuklah menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.85 per liter; mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2,000cc ke bawah dan mengurangkan harga tol dalam bandar dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Katanya, selain itu kerajaan disyorkan memberikan diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dan CGPA 3.5 ke atas, manakala bawah 4.0 mendapat 50 peratus potongan pinjaman, 3.0 dan 3.5 ke atas mendapat 30 peratus potongan pinjaman.

"MBM percaya dengan adanya sistem percukaian GST, ia mampu menstabilkan ekonomi negara dan kerajaan juga boleh mengusahakan program rasionalisasi subsidi bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah serta menambah bantuan BPR dan sebagainya," katanya.