[VIDEO] Anak kerat ibu: Suspek mungkin ada masalah mental

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Suspek yang bertindak membunuh dan mengerat ibu kandungnya kepada 15 bahagian di Taman Kerian, Parit Buntar dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak polis pada awalnya menjalankan siasatan kes orang hilang selepas salah seorang anak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya pada 28 Mei.

Menurutnya, suspek memaklumkan kepada ahli keluarga lain bahawa ibunya keluar rumah dan masih tidak pulang ke rumah.

"Ketua Polis Balai Parit Buntar telah pergi ke rumah ini dan ketika itu, keadaan rumah tidak terurus dengan bau tidak menyenangkan memandangkan mangsa dan suspek menjalankan urusan beli barang terpakai. Namun semalam, polis menerima panggilan daripada jiran yang mengatakan ada bau busuk luar biasa menyebabkan pihak polis sekali lagi ke tempat kejadian.

"Bila polis pergi ke bahagian belakang rumah itu, ada papan baru digunakan untuk menutup saluran lubang najis yang menempatkan mayat mangsa," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Malaysia Sports League Daerah Kinta di X Park Sunway City di sini pada Ahad.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan pihak forensik juga turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek untuk membunuh ibunya.

Menurutnya, suspek memukul kepala mangsa terlebih dahulu sehingga pengsan sebelum dikerat beberapa bahagian.

"Polis percaya dan yakin suspek ada masalah mental. Suspek telah ditahan semalam dan polis akan mendapatkan perintah reman pagi ini.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan selepas siasatan selesai, polis akan menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar.

Pihak polis menerima laporan mengenai penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira jam 3.30 petang pada Sabtu.

@sinarharianonline Suspek pernah terima rawatan itu 20 tahun lalu #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#AnakKeratIbu#SakitMental original sound Sinar Harian