Penjawat awam terpaksa cari kerja tambahan

Azizal (kiri) antara penjawat awam yang bekerja sambilan dalam perkhidmatan penghantaran bagi menambah pendapatan sedia ada.
Azizal (kiri) antara penjawat awam yang bekerja sambilan dalam perkhidmatan penghantaran bagi menambah pendapatan sedia ada.
A
A
A

IPOH - Kenaikan harga bagi keperluan harian selain komitmen kredit menyebabkan penjawat awam juga terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

Penjawat awam, Azizal Naziri, 43, berkata, bukan semua daripada mereka berpendapatan selesa sebaliknya terdapat dalam kalangan golongan tersebut yang mempunyai gaji rendah.

Dia yang turut terlibat dalam perkhidmatan penghantaran p-hailing berkata, keadaan hidup memaksa seseorang melakukan lebih pekerjaan kerana komitmen yang terpaksa ditanggung.

“Kebanyakan mereka yang berjawatan gred 44 ke bawah bukanlah golongan yang senang. Ramai kawan saya terpaksa lakukan banyak kerja khususnya p-hailing untuk tambah pendapatan.

“Saya sendiri merasai kesusahan itu. Dari e-hailing bawa penumpang, sekarang saya hantar makanan pula. Jadi perlu dilihat golongan ini, diberikan kelonggaran untuk mereka menambah pendapatan dengan cara yang betul,” katanya.

Ujarnya, bagi ketua keluarga yang bekerja seorang diri, sudah tentu kenaikan harga barang-barang keperluan membebankan malah terpaksa berjimat untuk berbelanja.

“Bukan sahaja barang makan, keperluan lain seperti persekolahan anak-anak, hutang kereta, rumah dan sebagainya menyebabkan penjawat awam gred rendah terpaksa membuat pekerjaan tambahan.

“Kita harap sangat kerajaan dapat beri kelonggaran dan memudahkan permohonan mereka bekerja sambilan mencari kerja yang halal seperti p-hailing kerana masa fleksibel serta tidak ganggu kerja hakiki,” jelasnya.

Tambahnya, hampir keseluruhan pendapatan digunakan untuk menyara keluarga dengan membeli keperluan makanan dan membayar hutang pinjaman perumahan serta kenderaan.