3 bakal jemaah haji Indonesia dikuarantin positif Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JAKARTA - Seramai tiga bakal jemaah haji yang dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci di Arab Saudi disahkan positif Covid-19, menurut Pusat Kesihatan Haji Indonesia.

Dua bakal jemaah haji dari Jakarta dan seorang dari Surabaya diuji positif jangkitan itu ketika melakukan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik (PCR).

Ketua pusat kesihatan itu, Budi Sylvana berkata, semua bakal jemaah haji perlu menjalani pemeriksaan PCR sebelum dibenarkan memasuki asrama masing-masing pada Jumaat.

Ketiga-tiga bakal jemaah haji itu akan menjalani tempoh kuarantin selama lima hari dan perlu mengemukakan keputusan negatif pada hari keempat dan kelima sebelum pihak berkuasa menjadualkan semula penerbangan mereka, katanya kepada media.

Mereka sepatutnya berada dalam kumpulan pertama, terdiri daripada 2,776 jemaah dari Padang, Jakarta, Bekasi, Solo dan Surabaya yang berlepas ke Tanah Suci pagi Ahad.

Indonesia merupakan negara yang memiliki kuota haji tertinggi di dunia, dengan 100,051 jemaah haji dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini, selepas musim haji ditangguhkan dua tahun akibat pandemik Covid-19. - Bernama