Wanita antara tiga ditahan curi 'sport rim'

Kegiatan suspek mencuri sport rim di Industrial Park, Ampang baru-baru ini mengundang padah apabila ditahan polis pada, Jumaat.
Kegiatan suspek mencuri sport rim di Industrial Park, Ampang baru-baru ini mengundang padah apabila ditahan polis pada, Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Kegiatan jenayah mencuri rim aloi (sport rim) kereta terbongkar susulan tangkapan tiga individu di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga suspek berusia 23 hingga 33 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam operasi bermula kira-kira jam 5 petang.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dan wanita di Batu 3, Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan suspek lelaki ketiga ditahan di Taman Muda Ampang, Selangor.

"Hasil tangkapan membawa rampasan tiga telefon bimbit, dua kereta jenis Proton wira yang dipercayai digunakan semasa jenayah dilakukan. Turut dirampas satu tayar bersama sport rim yang dipercayai adalah hasil jenayah suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua mereka direman empat hari sehingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Polis Ampang Jaya menerima laporan daripada seorang pekerja bengkel yang melaporkan kehilangan sport rim kereta jenis Honda Accord milik pelanggannya pada 24 Mei lalu di Industrial Park, Ampang.