Pemilihan KOM: Pencalonan jawatan naib presiden Nurhayati ditolak

Nurhayati Karim
Nurhayati Karim
A
A
A

PENCALONAN bekas atlet wanita Selangor era 90-an, Nurhayati Karim untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan jawatan tertinggi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi penggal 2022/2025, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 12 Jun ini ditolak.

Menurut kenyataan KOM, pencalonan Nurhayati ditolak berdasarkan klausa 8.7.1 Perlembagaan KOM yang menyatakan: "Pada AGM di mana pemilihan pemegang jawatan diadakan, calon-calon mestilah pemegang jawatan semasa kepada Ahli (-Ahli) Gabungan kecuali calon untuk jawatan Presiden yang terbuka kepada sesiapa yang dicadangkan oleh ahli gabungan.

"Kesemua pencalonan hendaklah dicadangkan dan disokong oleh Ahli (-Ahli) Gabungan yang berkenaan dengan pengesahan penerimaan oleh calon itu dan dihantarkan kepada Pengurus Besar KOM sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh AGM yang ditetapkan,” menurut klausa itu yang dikongsi oleh KOM.

Bagaimanapun, Nurhayati yang bakal bertanding bagi merebut jawatan Presiden KOM dan berhadapan saingan tiga penjuru dengan menentang penyandang Datuk SM Muthu selain Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs).

Berikutan penolakan pencalonan Nurhayati, kini hanya tinggal lima calon untuk jawatan naib presiden KOM iaitu Datuk Mark William Ling, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Syamsul Bani Abdullah dan Sallehuddin Satar.

Calon bagi bagi merebut jawatan timbalan presiden kekal dua iaitu Datuk Fadzil Abu Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran. - Bernama