Rayuan 6 individu didakwa bunuh Kevin Morais 22 Julai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 22 Julai sebagai pengurusan kes berhubung rayuan enam individu yang dihukum mati selepas mereka disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, hampir enam tahun lepas.

Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Nurul Azrina Mohamed Yusof semasa kes itu disebut di hadapannya pada prosiding pada Jumaat.

Peguam Datuk N. Sivananthan, yang mewakili bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, ketika dihubungi mengesahkan bahawa ia ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya untuk memuktamadkan rekod rayuan.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran kes itu kerana sesetengah perayu tidak dapat memfailkan petisyen rayuan susulan rekod rayuan belum dimuktamad.

Sivananthan berkata, anak guamnya telah memfailkan petisyen rayuan pada awal tahun ini sebaik sahaja Hakimm Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah memberikan alasan penghakiman.

Peguam Jasmine Cheong, yang membantu Sivananthan, pula berkata, pengurusan kes pada Jumaat adalah untuk mengemas kini mahkamah berhubung rekod rayuan.

Beliau berkata, ini merupakan kali kelapan prosiding pengurusan kes diadakan untuk rayuan itu.

"Sebaik sahaja rekod rayuan lengkap dan teratur, mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran, " katanya ketika dihubungi.

Pada 10 Julai 2020, Kunaseegaran, pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran dan empat penganggur R. Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M. Vishwanath serta S. Nimalan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.

Mayat mangsa ditemukan di dalam tong dram yang diisi konkrit.

Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015. - Bernama