Kuota majikan potong gaji pekerja asing akan ditamatkan

Saravanan ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM, pada Jumaat. - Foto Bernama
Saravanan ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menamatkan kuota majikan yang memotong gaji pekerja asingnya bagi menampung kos membawa masuk mereka ke negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, mana-mana majikan yang membawa masuk pekerja asing perlu menanggung semua kos termasuk penginapan dan penerbangan iaitu sifar kos bagi pekerja asing.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian tidak boleh campur tangan dalam sebarang urusan yang melibatkan ejen di negara sumber.

"Majikan jangan mula-mula tanggung kos, selepas itu potong gaji pekerja. Jika ada aduan daripada pekerja melalui aplikasi digital Working For Workers' (WFW), kita akan tamatkan kuota mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Saravanan menafikan dakwaan kononnya terdapat protes oleh agensi pekerjaan di Bangladesh ketika mengetuai delegasi kementerian itu bagi mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Bangladesh di Dhaka semalam.

Sebaliknya, Saravanan berkata, ketibaan beliau disambut baik dan berjaya mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil mengenai kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini.

"Saya berjumpa dengan empat menteri Bangladesh termasuk Perdana Menteri Sheikh Hasina dan secara dasar kami bersetuju untuk membawa masuk pekerja Bangladesh untuk beberapa sektor seperti perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saravanan juga bertemu rakan sejawatannya, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed pada mesyuarat JWG itu.

Semalam, media melaporkan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) mengadakan protes terhadap pendirian Malaysia yang hanya membenarkan 25 Ejen Pengambilan Bangladesh (BRA).

Saravanan berkata Malaysia masih berpegang kepada pendirian membenarkan 25 BRA dalam pengambilan pekerja baharu ke negara ini dan kementerian itu telah menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti dan memperhalusi 1,520 permohonan ejen negara berkenaan, sekali gus memilih 25 BRA.

Mengenai kelewatan kemasukan tenaga kerja Indonesia ke Malaysia, Saravanan menjelaskan, kemasukan mereka yang sepatutnya pada 31 Mei lepas terpaksa ditunda kerana menteri yang bertanggungjawab di Indonesia mempunyai urusan lain. - Bernama