Lebih 50,000 sukarelawan agensi kerajaan carum Perkeso

Saravanan (tiga dari kanan) dan Mohammed Azman (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan pada Jumaat.
Saravanan (tiga dari kanan) dan Mohammed Azman (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50,496 sukarelawan daripada tujuh agensi kerajaan telah mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Agensi terbabit ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, skim caruman yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan selama setahun itu menyasarkan penglibatan daripada keseluruhan lebih 100,000 sukarelawan yang terlibat bersama agensi berkenaan.

“Ini merupakan hala tuju kementerian supaya tiada mana-mana lapisan masyarakat tertinggal termasuk di semua sektor sama ada formal atau informal.

“...kita tahu hari ini kerja-kerja sukarelawan pun penuh dengan risiko,” katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan di sebuah hotel di ibu kota pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai kempen itu, Saravanan berkata, ia akan memberikan tumpuan kepada empat kategori kumpulan orang bekerja sendiri (OBS) seperti anggota pasukan sukarelawan dan pekhidmat rumah ibadat Islam di bawah Jakim.

Menurutnya,turut terlibat dalam kumpulan itu ialah penyelia dan petugas pemulihan komuniti di bawah JKM serta anggota sektor awam yang berstatus kontrak.

Perkeso memaklumkan, setakat 28 Mei lalu, seramai 346,313 atau lebih kurang 14 peratus OBS di seluruh negara telah mencarum dengan SKSPS berbanding jumlah keseluruhan kumpulan tersebut di Malaysia iaitu 2.38 juta.

Saravanan berkata, beliau berharap lebih ramai golongan OBS akan mencarum dan mendapatkan perlindungan di bawah Perkeso demi kesejahteraan diri serta keluarga.

Katanya, Perkeso telah membayar pampasan lebih RM6.4 juta kepada 2, 364 OBS di bawah SKSPS untuk tempoh sehingga 22 April lalu.

Dalam pada itu, Saravanan memaklumkan jumlah keseluruhan tuntutan manfaat Covid-19 di bawah Perkeso setakat ini melebihi RM174 juta.

“Jumlah ini adalah untuk keseluruhan kes iaitu kematian, cuti dan sakit,” ujarnya.

Di bawah SPS Khidmat, kerajaan menyediakan pembiayaan sepenuhnya bagi caruman Pelan 2 SKSPS yang berjumlah RM RM232.80 setahun untuk anggota sukarelawan.

Bagi pembiayaan penuh untuk caruman Pelan 4 SKSPS berjumlah RM592.80 setahun adalah untuk pekhidmat rumah ibadat Islam, penyelia dan petugas pemulihan komuniti serta anggota sektor awam berstatus kontrak.