Juara dunia kekal bersama Yamaha

Quartararo
Quartararo
A
A
A

PENYANDANG juara dunia Fabio Quartararo akan kekal bersama Yamaha sehingga penghujung 2024, umum pasukan MotoGP sensasi tersebut sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depan pelumba utama pasukan itu.

Quartararo, yang kini mendahului kejuaraan bagi kategori pelumba dengan lapan mata, sebelum itu dikhabarkan sedang berbincang dengan pengeluar MotoGP lain.

“Yamaha percaya kepada saya sejak awal lagi, dan itu adalah suatu perkara yang saya tidak pernah ambil mudah dalam karier...

"Malah apabila memperkatakan mengenai perjanjian baharu ia adalah satu keputusan besar melibatkan semua pihak.

"Pada ketika ini prestasi saya berada di tahap terbaik sepanjang berada dalam industri ini, jadi saya memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat keputusan bagi memastikan semuanya baik-baik sahaja," kata Quartararo.

Pelumba berusia 23 tahun itu, yang memenangi enam perlumbaan dan meraih 14 podium bersama Yahama pada musim 2021 dan 2022 setakat ini, menjadi rakyat Perancis pertama memenangi kejuaraan dunia MotoGP tahun lalu.

"Saya percaya pada projek MotoGP Yamaha, kerana Yamaha benar-benar bermotivasi. Dan sekarang kami telah mengesahkan secara rasmi keputusan meneruskan kerjasama ini, kini kami boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada visi dan misi musim ini," tambah Quartararo.