Amanah gesa perjelas perjanjian import arang batu TNB RM13.13 bilion

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memperjelaskan butiran perjanjian Tenaga Nasional Berhad (TNB) import arang batu dengan pengeksport Indonesia, bernilai AS$3 bilion bersamaan RM13.13 bilion bagi tempoh tiga tahun.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak AS$700 juta berbanding nilai kontrak pada tahun sebelumnya sebanyak AS$2.3 bilion.

“Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan bahawa kenaikan setinggi 30 peratus tersebut disebabkan kenaikan mendadak harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa.

“Perjanjian perolehan ini harus diteliti memandangkan sebanyak 65 peratus daripada bekalan arang batu yang digunakan oleh TNB untuk penjanaan kuasa elektrik adalah diimport dari Indonesia.

“Melihat kepada jumlah kos yang terlibat, menteri wajar menjelaskan adakah perjanjian tersebut diadakan melalui tender terbuka atau secara rundingan terus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan mengapa rundingan perjanjian jangka panjang itu tidak ditangguhkan beberapa bulan lagi memandangkan agensi seperti Fitch telah menjangkakan harga pasaran arang batu akan merosot menjelang hujung tahun 2022.

Menurutnya, tindakan tergesa-gesa TNB menandatangani perjanjian tersebut ketika harga pasaran arang batu sedang melonjak naik kesan perang Russia-Ukraine juga turut menimbulkan kemusykilan.

“Saya memahami kepentingan mengikat perjanjian seperti ini untuk menjamin bekalan bahan bakar penting tersebut tidak terjejas, namun ia bukan satu alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak sepenting ini.

“Justeru, saya menuntut pihak menteri untuk memperincikan lagi butiran perjanjian dan nilai kontrak tersebut,” ujarnya.