[VIDEO] Penentuan tarikh PRU15, PM diminta lebih konsisten

Anthony Loke (kiri) dan Ismail Sabri.
Anthony Loke (kiri) dan Ismail Sabri.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya perlu lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya berhubung penetapan waktu untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Ismail Sabri seharusnya lebih bertanggungjawab berhubung perkara penting tersebut dan tidak membuat kenyataaan yang bercanggah hanya disebabkan kepentingan politik pihak tidak berkaitan.

Katanya, ini kerana kenyataan dan mesej yang ‘flip flop’ itu dilihat hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berterusan dan bakal memburukkan lagi keadaan semasa ekonomi negara.

“Dalam satu wawancara dengan media Jepun, Nikkei yang disiarkan hari Isnin lalu, beliau dengan jelas menyatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana masalah inflasi sedang melanda dan isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani.

“Namun, dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam (Rabu) mengatakan beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia selepas diasak dan ditekan oleh kluster kleptokrat untuk membubarkan Parlimen.

“Keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri. Keputusan yang begitu penting ini tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka,” katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, mesej politik yang jelas itu bukan hanya penting buat rakyat tetapi juga kepada dunia luar.