Harimau Malaya mudah atasi Hong Kong

Safiq (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto: Bernama
Safiq (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto: Bernama
A
A
A

HARIMAU Malaya menamatkan kempen pemanas badan menjelang pusingan ketiga aksi kelayakan Piala Asia 2023 dengan noktah cemerlang apabila menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Rabu.

Untuk rekod, ini merupakan kemenangan kedua skuad kendalian Kim Pan-gon selepas bermula garang membelasah Brunei 4-0 dalam aksi di venue sama pada 27 Mei lalu.

Harimau Malaya bermula garang sebaik wisel permulaan dengan menyaksikan beberapa percubaan bahaya digerakkan jentera serangan ke pintu gol Hong Kong, namun asakan-asakan tersebut gagal menepati sasaran selain dinafikan kekebalan benteng pertahanan lawan.

Anak buah Pan-gon hampir membuka jaringan pada minit ke-24, namun rembatan pemain sayap lincah Ariff Aiman Hanapi diselamatkan penjaga gol Hong Kong, Argolo Cesar kendalian pengendali kelahiran, Norway, Jorn Andersen tersebut.

Gol dicari skuad negara akhirnya dijelmakan peledak sensasi negara Safawi Rasid yang membuka jaringan pada minit ke-30 apabila menyempurnakan sepakan penalti setelah Akhyar Rashid dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Fung Hing Wa.

Jaringan itu ternyata menyemarakkan semangat para pemain negara apabila melipatgandakan percubaan ke arah gawang pasukan menyaksikan tandukan Darren Lok hampir sekali lagi merobek gawang, namun tersasar menyaksikan kedudukan 1-0 kekal menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya mengasak hebat ke gawang pelawat hampir menambah jaringan menerusi Akhyar Rashid pada minit ke-52, namun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu gagal merembat tepat walaupun pintu gol sudah terbuka luas.

Anak buah Andersen mula melakukan beberapa gerakan selepas Harimau Malaya mengendurkan serangan selepas mengeluarkan Lok, Akhyar, Arif dan Safawi dengan memasukkan Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh, Safiq Rahim dan Faisal Halim yang kurang mengancam benteng Hong Kong.

Kerja keras para pemain negara akhirnya terhasil apabila Safiq berjaya menjelmakan gol kedua pasukannya selepas sepakan percumanya membias terkena benteng lawan untuk kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas Hong Kong sejak 2012.