Harimau Muda tak gentar status Korea Selatan

Maloney (kiri) dan Quentin Cheng pada sidang pra perlawanan Kumpulan C Piala Asia B-23 2022 menentang Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent. - Foto FAM
Maloney (kiri) dan Quentin Cheng pada sidang pra perlawanan Kumpulan C Piala Asia B-23 2022 menentang Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara diingatkan untuk beraksi sebaik mungkin ketika berdepan juara bertahan, Korea Selatan pada aksi sulung Kumpulan C Piala Asia B-23 2022 di Stadium Lokomotiv, Tashkent pada Khamis.

Menurut pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney, biarpun menyedari bakal berdepan laluan sukar berdepan Korea Selatan yang juga merupakan pasukan pilihan untuk ke suku akhir, namun beliau percaya para pemain dapat memberikan saingan sengit kepada lawan.

Para pemain juga turut diminta untuk melakukan pendekatan sama iaitu tidak gentar apabila berdepan dengan mana-mana pasukan sepanjang kempen pada kali ini.

“Seperti kita semua tahu, Korea Selatan merupakan pasukan yang kuat dengan dibarisi ramai pemain berkelas dunia dan pernah beraksi pada Piala Dunia Remaja lalu.

“Ya, kita menghormati mereka tetapi seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, para pemain kita tidak gentar untuk berdepan dengan mana-mana pasukan sekali pun.

“Justeru, pendekatan sama akan dilakukan pada saingan Piala Asia kali ini pada setiap perlawanan yang diharungi nanti,” katanya pada Rabu.

Pemain-pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Korea Selatan. - Foto FAM
Pemain-pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan berdepan Korea Selatan. - Foto FAM

Selepas menentang Korea Selatan, anak buah Maloney bakal berdepan Thailand di Stadium Bunyodkor pada Ahad sebelum menentang Vietnam di Stadium Lokomotiv pada 8 Jun.

Mengulas mengenai sasaran pada kejuaraan tersebut, Maloney berkata, dia tidak meletakkan sasaran yang khusus, namun para pemain diharap dapat memberikan aksi terbaik bagi memastikan skuad B-23 negara dapat mara lebih jauh pada saingan di Uzbekistan itu.

“Sebenarnya kita tidak ada sasaran yang khusus tetapi dalam masa sama kita mahu pasukan ini mara lebih jauh pada saingan Piala Asia kali ini.

“Kita juga tidak hanya memberikan fokus kepada aksi berdepan Korea Selatan tetapi juga memberikan tumpuan kepada aksi berdepan dua seteru tradisi, Thailand dan Vietnam kerana kedua-duanya telah pun melakukan persiapan rapi bagi mengharungi kejohanan kali ini.

“Sudah pasti juga pasukan dan pemain yang beraksi di Piala Asia kali ini berbeza dengan mereka yang beraksi di Hanoi 2021 lalu, sekali gus menjadikan saingan peringkat kumpulan ini sangat mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, pemain skuad B-23 negara, Quentin Cheng menegaskan, para pemain Harimau Muda sudah bersedia untuk berdepan dengan Korea Selatan, biarpun mengakui bakal berdepan tentangan sengit pada aksi pembukaan kumpulan itu.

“Kami memang menjangkakan aksi menentang Korea Selatan merupakan perlawanan sukar dan untuk itu kami telah pun melakukan persiapan rapi.

"Apa pun, kami sudah bersedia untuk berdepan Korea Selatan,” katanya.