Kejora mampu perluas wilayah berdasarkan rekod cemerlang

Mahdzir (tengah) merasmikan Sambutan Jubli Emas Kejora di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
Mahdzir (tengah) merasmikan Sambutan Jubli Emas Kejora di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) mampu memperluaskan kawasan pembangunan sedia ada berdasarkan rekod cemerlang sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perluasan kawasan pembangunan itu bagaimanapun tertakluk kepada kerajaan negeri.

"Tiada masalah untuk kawasan Kejora diperluaskan. Jadi, terpulang kepada kerajaan negeri, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mempertimbangkan (permohonan).

"Kita tidak beri tekanan kepada kerajaan negeri, biar kerajaan negeri yang buat keputusan. Kalau pada kerajaan negeri berpendapat elok diperluaskan, boleh diperluaskan dan kalau kerajaan negeri fikir sebaliknya, itu terpulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Sambutan Jubli Emas penubuhan Kejora di Dataran Tanjung Balau di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Darus dan Exco Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Dalam pada itu, Kejora turut menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records bagi Ladang Penyelidikan Pertama Mengkuang yang dibangunkan secara komersial di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.

Sepanjang 50 tahun penubuhannya, Kejora berjaya membangunkan masyarakat luar bandar di wilayah Johor Tenggara menerusi pemerkasaan modal insan, prasarana dan sosioekonomi mampan.

Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kejotadi Dataran Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor berlangsung selama empat hari bermula Khamis.