Bursa Malaysia terus pantau pematuhan keperluan penyenaraian Sapura Energy

Sapura Energy
Sapura Energy
A
A
A

BURSA Malaysia akan terus memantau kemajuan Sapura Energy Bhd berhubung pematuhannya kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR).

"Bursa Malaysia mahu menekankan bahawa ia akan terus memantau kemajuan Sapura Energy terhadap pematuhannya kepada MMLR,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Sapura Energy mengumumkan ia telah mencetuskan kriteria yang ditetapkan menurut keperluan penyenaraian di bawah Nota Amalan 17 (PN17), mengambil langkah untuk menyusun semula perniagaan melalui Pelan Tetapan Semula, yang dilancarkan pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.

Lembaga Pengarah Sapura Energy telah menubuhkan Pasukan Petugas Penstrukturan Semula Lembaga pada Disember 2021 untuk mengukuhkan fungsi pengurusan dan tadbir urus dan melaksanakan langkah penting ke arah penstrukturan semula hutang dengan adil dan tersusun melalui perundingan dengan pemiutang selepas menerima perintah mahkamah untuk memulakan proses skim pengaturan (SOA) pada Mac 2022.

Bursa Malaysia berkata setakat 1 Jun, sebanyak 28 syarikat di bawah PN17 dan Nota Panduan No. 3 (GN3) yang mewakili 3.02 peratus daripada jumlah keseluruhan 928 syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Senarai syarikat di bawah PN17 ialah AirAsia X Bhd, Asia Media Group Bhd, Barakah Offshore Petroleum Bhd, Bertam Alliance Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Capital A Bhd, China Automobile Parts Holdings Ltd, Comintel Corporation Bhd, Dolomite Corporation Bhd, E.A. Technique (M) Bhd, FSBM Holdings Bhd, Iqzan Holding Bhd, Ireka Corporation Bhd, Jerasia Capital Bhd, Khee San Bhd, Konsortium Transnasional Bhd, Malaysia Pacific Corporation Bhd, Perak Corporation Bhd, Propel Global Bhd, Sapura Energy Bhd, Scomi Energy Services Bhd, Scomi Group Bhd, Seacera Group Bhd, Serba Dinamik Holdings Bhd, TH Heavy Engineering Bhd dan Top Builders Capital Bhd.

Senarai syarikat di bawah GN3 pula adalah G Neptune Bhd dan Idimension Consolidated Bhd.

PN17 dan GN3 adalah klasifikasi syarikat senaraian awam yang berdepan masalah kewangan dan ia perlu mengemukakan cadangan mengenai penstrukturan semula bagi mengekalkan status penyenaraiannya. - Bernama