Bekas CEO Sapura Energy saman Rafizi

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengesahkan menerima writ saman daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Berhad (SEB), Tan Sri Shahril Shamsuddin berhubung kenyataannya mengenai masalah kewangan SEB.

Rafizi berkata, writ saman daripada Shahril itu diterima sekitar jam 11.30 malam ketika menghadiri satu majlis di Kuantan, Pahang 11 Mei lalu.

Writ itu katanya untuk mengesahkan Tetuan Zul Rafique & Partners telah memfailkan saman terhadapnya di mahkamah berhubung kenyataan mengenai desakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.

"Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan tersebut untuk melindungi kepentingan awam.

"Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan demi mempertahankan wang rakyat. Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Setakat ini, saya menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap saya di mahkamah. Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan tersebut," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu Rafizi turut memaklumkan, beliau akan diwakili pasukan peguam diketuai Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh, yang merupakan peguamnya sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 hingga ke keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang berpihak padanya baru-baru ini.

"Perbicaraan kes saman Shahril adalah titik mula yang penting dalam usaha kita memastikan pelaburan rakyat melalui institusi pelaburan awam memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam.

"Dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana rakyat, kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk mengelakkan dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat ini mengalami kerugian besar," katanya.

Dalam pada itu Rafizi menyifatkan kepulangannya dalam arena politik tanah air selepas hampir dua tahun berehat disambut dengan kes mahkamah berkenaan.

"Insya ALLAH saya akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini biar pun terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa," katanya.