Program hari tanpa kenderaan akan dianjurkan semula di Pulau Pinang

A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri berhasrat untuk menganjurkan semula hari tanpa kenderaan yang dihentikan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, program yang dianjurkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hujung minggu bertujuan memupuk kesedaran lestari dalam kalangan masyarakat sejak tahun 2015 lagi.

Menurutnya, masyarakat setempat berpeluang untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti diadakan di dua lokasi iaitu di Lebuh Pantai dan Jalan Todak, Bandar Sunway Seberang Jaya.

"Di bahagian pulau, program ini dijalankan pada setiap hari Ahad di kawasan Lebuh Pantai oleh MBPP yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk program berbasikal.

"Penganjuran program ini juga dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara untuk menyertai aktiviti yang dijalankan," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan yang dikemukakan Heng Lee Lee (PH-Berapit) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada Rabu.

Jagdeep berkata, bagi kawasan Seberang Perai pula, program terbabit diadakan pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan.

Jelasnya, program hari tanpa kenderaan di Seberang Perai dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan bangunan tambahan Pusat Beli-belah Sunway Carnival.

"Kerajaan negeri sememangnya bercadang untuk mengadakan semula program ini secara berperingkat memandangkan negara kini telah memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19.

"Saya akan meminta serta menyarankan kedua-dua PBT untuk melihat tempat-tempat yang sesuai dan melaksanakan program ini dalam masa terdekat," katanya.