Pemansuhan AP tindakan tepat, kartel tidak boleh ambil kesempatan

Masalah bekalan ayam sehingga mengakibatkan permintaan melebihi penawaran di pasaran menyebabkan peningkatan harga yang membebankan pengguna.
Masalah bekalan ayam sehingga mengakibatkan permintaan melebihi penawaran di pasaran menyebabkan peningkatan harga yang membebankan pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Kewujudan kartel makanan menguasai pasaran tempatan sehingga mampu memanipulasi harga demi kepentingan mereka bukan perkara baharu khususnya melibatkan makanan yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Gerakan kartel yang disebut-sebut ini juga merupakan pemegang permit import (AP) yang dikeluarkan kerajaan sebagai kebenaran melaksanakan proses import makanan untuk menampung permintaan makanan dalam pasaran negara.

Mereka ini juga sebenarnya secara tidak langsung membantu masyarakat dalam membuat pilihan pembelian.

Meskipun begitu, disebabkan kelebihan pada pemegang AP ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri tanpa memikirkan kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

Ini boleh dilihat berdasarkan isu bekalan daging lembu dan ayam misalnya, apabila pengguna terpaksa berdepan dengan masalah bekalan yang meragukan.

Kes penyeludupan daging lembu import diragui status halalnya untuk dijual di pasaran halal tempatan angkara kartel daging yang dibongkarkan sebelum ini adalah isu paling memberi kesan kepada pengguna khususnya umat Islam yang merupakan kelompok terbesar di negara ini.

Selain itu, isu terbaharu apabila pengguna juga terpaksa berdepan masalah bekalan ayam sehingga permintaan melebihi penawaran di pasaran seterusnya menyebabkan peningkatan harga yang membebankan pengguna.

Sedangkan pemegang-pemegang AP sedia ada sepatutnya berkeupayaan untuk membantu menambah bekalan di pasaran dan masalah bekalan ayam tidak sepatutnya wujud.

Pelbagai modus operandi yang ‘sengaja’ dilakukan kartel demi mengawal bekalan pasaran telah menimbulkan perdebatan sehinggalah kerajaan mengambil langkah drastik dengan memansuhkan AP bagi bahan makanan berkuat kuasa serta-merta demi ke arah penyelesaian masalah yang hadapi pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu pada 18 Mei lalu berkata, dengan pemansuhan AP, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan dari luar negara.

“Kita buka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport bahan makanan untuk masuk ke negara kita. Kalau dulu ada AP lembu, daging dan macam-macam lagi, mulai hari ini tiada AP lagi diperlukan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Keputusan pemansuhan AP itu telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak yang kebanyakannya menyambut baik langkah tersebut meskipun menyifatkan ia sekadar untuk jangka masa pendek.

Manfaat kepada PKS

Gambar hiasan
Gambar hiasan



Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan juga tidak menafikan kepentingan pemansuhan AP ketika ini demi menyelesaikan masalah bekalan makanan dalam negara.

Langkah itu juga katanya, bakal memberi kesan kepada kumpulan kartel yang selama ini mengaut keuntungan berlebihan kerana memonopoli pasaran.

“Kartel adalah isu yang sukar untuk diselesaikan kerana tiada pihak mengaku mereka kartel. Mereka ini mengaut keuntungan yang besar dan sepatutnya jika dimanfaatkan dengan betul, mereka sebenarnya boleh bantu rakyat (dengan mengurangkan harga). Namun ia tidak berlaku.

“Jadi apabila AP dimansuhkan, kartel-kartel ini akan terkesan kerana ia akan mengurangkan keuntungan kartel untuk jangka masa sederhana disebabkan banyak pihak boleh mengimport makanan,” katanya.

Jelas beliau lagi, selain itu pemansuhan AP yang dapat membantu menstabilkan bekalan makanan dalam negara juga bakal memberi manfaat kepada golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, apabila bekalan makanan sudah stabil, bekalan untuk golongan PKS juga akan menjadi stabil sekali gus membantu kelangsungan perniagaan mereka.

Beliau pada masa sama percaya, kerajaan mempunyai mekanisme sewajarnya berkaitan kaedah kemasukan makanan import yang dijangka bertambah untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Namun, lambakan bekalan dalam negara sebenarnya tidak memberi jaminan kepada penurunan harga kerana terdapat banyak faktor luar kawalan termasuk sekiranya jumlah permintaan masih lagi kekal tinggi berbanding penawaran,” katanya.

Kawalan harga

No Image Caption



Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga senada dalam isu kesan harga barangan makanan di pasaran selepas AP dimansuhkan.

Katanya, walaupun AP makanan dimansuhkan, ia tidak semestinya akan menyebabkan harga daging lembu dan ayam import diturunkan kerana fenomena harga barang naik adalah isu global dan seluruh dunia mengalami kesan kenaikan harga barang.

“Cuma sekurang-kurangnya dengan pemansuhan AP ini, pemegang AP tidak akan dapat mengambil kesempatan mengenakan harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Selain itu, kerajaan harus memastikan selepas pemansuhan AP import makanan ini, proses import ditambah baik supaya ia lebih telus,” katanya.

Ujarnya, pemansuhan AP yang sepatutnya menguntungkan pembeli hanya bersifat penyelesaian jangka pendek jika negara masih bergantung kepada makanan import.

“Jika harga makanan import kekal tinggi, maka kita akan terus berdepan dengan harga makanan yang tinggi.

“Untuk jangka masa panjang, kita harus mula menghasilkan makanan sendiri supaya tidak mudah terkesan dengan harga makanan import,” katanya.

Mansuh AP kurangkan kerenah birokrasi

Oleh MUHAMMAD YUSAINY MOHAMAD YUNUS&NURUL HUDA HUSAIN

SHAH ALAM - Langkah pemansuhan permit import (AP) merupakan satu usaha berani kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, pemansuhan itu dapat membantu usahawan-usahawan membuat pilihan dan harga juga akan menjadi lebih kompetitif.

Tambahnya, sekiranya ia tidak dilaksanakan, maka pihak tertentu akan memonopoli dan mengawal harga bekalan tersebut.

“Ini menyebabkan kurang adil kepada pemain-pemain industri, tetapi kalau kita mengehadkan kepada market force untuk menentukan penawaran dan permintaan, maka kita akan dapat harga munasabah.

“Saya rasa ini akan membantu tentang isu kekurangan bekalan makanan kerana kalau kita lihat apabila satu barang berkurang, harga akan melambung dan kerajaan akan campur tangan.

“Kita juga nampak selepas pandemik ini isu supply change menyebabkan ayam pun jadi isu besar, jadi semua pun naik harga.

“Kami rasa ini (pemansuhan AP) membantu mengelakkan kartel-kartel ataupun sesetengah pihak memonopoli item-item tertentu dan saya rasa ini lebih adil,” katanya dalam Wacana Sinar Edisi ke-349 bertajuk Hapus AP, Berani Betul! pada Jumaat.

Turut menjadi panel adalah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, pemansuhan AP juga membantu usahawan berdaya saing dalam perniagaan.

Menurutnya, pemberian bantuan atau hak keistimewaan akan menyebabkan mereka semakin lemah dan tidak berjaya.

“Kita pernah berdebat tentang isu di mana bila kita memberi special rights kepada sesetengah kaum, adakah ini membantu atau melemahkan mereka?

“Hasilnya bantuan secara berterusan itu akan melemahkan sesuatu kaum, kita dah lihat perkara itu. Kita ada usahawan-usahawan bijak pandai dan yang boleh bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

“Kenapa kita sentiasa kena beri pertolongan? Yang patut diberi kita tolong lah, saya rasa pemansuhan AP ini adalah satu langkah yang positif oleh pihak kerajaan untuk membantu khususnya orang ramai supaya kebolehcapaian orang ramai kepada produk itu lebih senang untuk diperoleh,” ujarnya.

Tambah beliau, bagaimanapun peningkatan harga bekalan tersebut juga disebabkan penggunaan ‘orang tengah’ untuk memasarkan produk mereka.

Katanya, oleh itu, wujudnya persaingan akan menyebabkan mereka lebih berusaha untuk bersaing sesama mereka.

“Kita sebenarnya boleh berdaya saing dan saya rasa kebanyakan daripada usahawan-usahawan kita sudah menyediakan harga yang berpatutan. Namun masalahnya kepada orang tengah.

“Sebagai contoh petani di ladang yang buat kerja yang bermati-matian dapat keuntungan sikit, tetapi disebabkan mereka ini tidak ada hubungan (connection), tidak tahu untuk pasarkan produk, jadi kita akan gunakan mereka ini.

“Orang tengah ini pula akan naikkan harga untuk dapatkan keuntungan lebih. Sistem ini sudah berlaku turun-temurun sampai bila kita nak berselindung dan takut dengan persaingan.

“Kalau kita ada persaingan daripada luar, ini juga akan membuatkan orang kita lebih terjaga dan lebih bertungkus-lumus untuk mencari keuntungan,” jelasnya.

Tambah Abdul Malik, beliau mengakui bahawa peningkatan harga itu untuk memastikan perniagaan sesetengah masyarakat dapat diteruskan selepas pandemik.

Ujarnya, kerajaan juga terpaksa mencari pendapatan lain selepas membelanjakan dana dalam menangani Covid-19 dan komuniti untuk membantu rakyat.

“Kita pun tahu krisis ini bukan yang berlaku satu hingga dua hari kerana krisis akan sentiasa menjadi krisis.

“Kita juga sebelum ini kurang tenaga kerja dalam pasaran kerana kita tidak dapat membawa masuk pekerja asing dalam waktu lama dan baru ada kelonggaran.

“Jadi mahu tidak mahu kos operasi dan kos lain terpaksa naik harga kerana untuk kekal relevan mesti naikkan harga, kalau tidak tutup kedai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut memberi saranan kepada usahawan untuk menaikkan harga dengan berpatutan dan tidak melampaui batas.

“Kita mengakui harga meningkat sebab untuk teruskan perniagaan untuk berjalan dan saya rasa pengguna faham sebab tiada jalan lain,” ujarnya.

Alami defisit perdagangan makanan

Malaysia ketika ini mengalami defisit dalam perdagangan makanan kerana jumlah import lebih tinggi berbanding eksport.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, secara keseluruhan negara mengimport lebih RM55 bilion makanan daripada negara luar berbanding hanya RM39 bilion makanan negara yang dieksport.

“Sebenarnya Malaysia kini mengalami defisit dalam perdagangan makanan. Kita mengimport lebih RM55 bilion tetapi jumlah eksport hanya RM39 bilion. Jadi kita ada defisit.

“Sebelum ini kita menggalakkan eksport tetapi selepas ayam menjadi satu keperluan penting, jadi kita telah membuat peraturan untuk tidak membenarkan eksport,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan makanan merupakan polisi jangka pendek kerana ia tidak akan bertahan lebih daripada enam bulan.

Ini kerana katanya, selepas daripada tempoh itu, aktiviti pengimportan boleh menyebabkan penyusutan nilai ringgit yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya peningkatan semula harga barang.

“Kalau kita tidak kawal dalam masa enam bulan, kita dapati permintaan mata wang dolar AS akan meningkat kerana kita perlu mengimport lebih banyak makanan dan ini akan melemahkan mata wang ringgit (RM).

“Apabila mata wang ringgit kita lemah dan bila kira balik selepas kita membeli dalam dolar AS sebenarnya harga akan menjadi lebih tinggi pula selepas ini,” katanya.

Justeru, katanya sekiranya kerajaan tidak mengawal, harga barang akan meningkat secara semula jadi.

Laksana perancangan teliti

Kerajaan diminta supaya melaksanakan perancangan yang lebih teliti dalam isu pemberian permit import (AP) bagi memastikan pengguna tidak lagi terus menjadi mangsa pihak tertentu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perancangan teliti dan lebih ketat itu perlu dilaksanakan bagi menghapuskan ‘kartel’ yang wujud sebelum ini.

“Kita sebenarnya tidak ada regulasi, jadi mungkin sudah tiba masanya untuk kita belajar daripada negara-negara lain termasuklah dalam isu pembukaan (mansuh) AP ini.

“Sebagai sebuah negara, kita mesti mempunyai perancangan yang lebih ketat supaya kita berdaya saing,” katanya.

Nadzim berkata, pengguna juga diingatkan agar bijak memainkan peranan sekiranya ada pihak yang cuba menaikkan harga barangan yang tidak munasabah.

Katanya, sebagai pengguna mereka perlu bijak menggunakan kuasa membeli dan perlu mengubah sikap terlalu bergantung kepada barangan tertentu sahaja.

“Kalau sesuatu barang itu naik dan harganya yang tidak munasabah, kita perlu ubah mungkin boleh menggantikan dengan makanan yang lain buat sementara waktu,” katanya.