Tiga pelatih AMD jalani latihan percubaan bersama kelab di Eropah

Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari
Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) pada Rabu menghantar tiga pemain terbaiknya bagi menjalani latihan percubaan bersama kelab di Eropah bermula esok hingga 19 Jun dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian di akademi itu.

AMD dalam kenyataan memaklumkan tiga pemain berkenaan ialah Mohammad Haykal Danish, Rohisham Haikal dan Muhammad Abu Khalil yang juga antara pemain terbaik AMD Generasi 2005.

"Tiga pemain AMD telah berlepas pagi ini (Rabu) ke Perancis bagi menjalani latihan percubaan bersama kelab di sana. Mereka dijangka menjalani latihan percubaan bersama Kelab FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg.

"Pemergian mereka ke Perancis diiringi Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Saad Ichalalene serta jurulatih Bawah 17 Tahun AMD Amarul Naza Mohamad,” menurut kenyataan itu.

AMD memaklumkan Mohammad Haykal dan Rohisham pernah bermain bersama Kelab Paris Saint-Germain (PSG) Bawah 13 tahun (B-13) dalam satu Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali pada 2018.

Sementara Muhammad Abu adalah pemain utama Skuad Piala Presiden AMD yang kini berada di kedudukan teratas dalam saingan Piala Presiden 2022.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan yang tertangguh hampir dua tahun akibat Covid-19 akan diteruskan untuk semua generasi di AMD. - Bernama