Amanah gesa sidang khas Parlimen bincang isu makanan

Adly (duduk dari kiri) ditemui selepas turun padang bertemu peniaga di Pasar Besar Melaka di Bachang pada Selasa.
Adly (duduk dari kiri) ditemui selepas turun padang bertemu peniaga di Pasar Besar Melaka di Bachang pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Sidang khas di Parlimen perlu diadakan bagi membincangkan isu-isu berkaitan makanan termasuk kekurangan bekalan dan kenaikan harga bahan makanan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, isu melibatkan rakyat itu serius dan perlu dibawa ke Parlimen bagi memastikan ada solusi jangka masa panjang.

Menurutnya, menerusi sidang khas itu, kerajaan dapat mencari punca masalah dan penyelesaian yang terbaik agar isu-isu makanan ini tidak berpanjangan dan terus membebankan pengguna.

"Sekiranya tiada penyelesaian secara menyeluruh, dibimbangi ia akan menjadi krisis paling buruk yang akan melanda negara selepas pandemik Covid-19.

"Kita tidak boleh gunakan cara sama contoh bila kita kekurangan ayam baharu kita nak tanam jagung, ini bukan penyelesaian jangka masa panjang," katanya selepas turun padang bertemu peniaga di Pasar Besar Melaka di Bachang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Amanah Negeri, Datuk Ashraf Minghat, Ketua Amanah Kota Melaka, Datuk Harun Mohamed dan Ketua Amanah Jasin, Azrin Ab Majid.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka berkata, kebanyakan peniaga terpaksa menjual barangan dengan keuntungan yang sedikit malah terdapat juga bekalan ayam dicatu dan berkurangan.

"Ini menyebabkan kuasa membeli semakin rendah ditambah pula dengan kenaikan harga barang yang berlipat kali ganda membuatkan peniaga tersepit dan pengguna tertekan.

"Harap kita boleh urus dengan baik dan Parlimen mesti memainkan peranan untuk memastikan kita ada solusi kepada masalah itu," katanya.