Sila log masuk terlebih dahulu.

Pusat kajian kewartawanan Malaysia: Titik rujukan di rantau ini

Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican
Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia penting kerana ia berupaya menjadi titik rujukan mengenai kewartawanan di negara dan rantau ini selain melatih golongan wartawan, kata Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau menyifatkan penubuhan pusat itu sebagai usaha menentukan latihan dan penyelidikan berbentuk wacana mengenai kewartawanan bagi memantapkan lagi profesion berkenaan termasuk mendedahkan dengan sejarah serta asal usulnya.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga mencadangkan agar pusat kajian tersebut bukan hanya menumpu kepada kewartawanan di Malaysia khususnya kewartawanan Melayu, bahkan kewartawanan di pulau-pulau Melayu seperti Indonesia, Brunei dan Filipina kerana ia saling berkait.

"Pusat itu amat penting untuk kita melihat semula dan menjadi pusat kajian yang cemerlang mengenai kewartawanan, sekali gus melatih serta mendidik wartawan dan bakal wartawan," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, pada Isnin.

Ditanya mengenai individu yang akan menerajui pusat itu, Ahmad Murad berpandangan seseorang yang mengkaji sejarah dan etika kewartawanan di Malaysia khususnya kewartawanan Melayu perlu diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan di negara ini.

Ismail Sabri berkata, pusat kajian itu boleh mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: