Boleh kemuka bantahan keputusan Pemilihan PKR Selangor

Mazli
Mazli
A
A
A

SHAH ALAM - Bantahan keputusan Pemilihan PKR Selangor 2022 boleh dibuat selepas keputusan tidak rasmi dikeluarkan pada Ahad.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mazli Saring berkata, bantahan dan aduan tersebut dibuka selama dua minggu disusuli pelaksanaan forensik audit.

Menurutnya, aduan dikemukakan akan diselesaikan sebelum Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Jun ini.

"Permohonan boleh dibuat secara terus dalam talian di laman sesawang rasmi dan dilampirkan bersama bukti untuk tindakan lanjut.

"Buat masa ini hanya majoriti kecil membuat bantahan, contohnya membabitkan perbezaan undi yang kecil atau mendapat jumlah undi yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, keputusan Pemilihan PKR membabitkan 22 cabang di Selangor telah dikeluarkan dan boleh disemak menerusi laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022.

Mengulas lanjut katanya, proses undian kali ini tidak dicemari insiden provokasi dan kekecohan malah jumlah pengundi di Selangor juga menunjukkan pertambahan daripada 35,000 kepada 50,000 pengundi.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya dalam proses mengemukakan bantahan selepas wujud keraguan pada hari pengundian 21 Mei lalu.

Beliau yang bertanding bagi kerusi Ketua Cabang Petaling Jaya berkata, masalah sistem juga menyebabkan ramai ahli tidak dapat mengundi secara fizikal pada tarikh tersebut.

Gambar dari kiri: Mohd Khairuddin, Mohd Fakrulrazi
Gambar dari kiri: Mohd Khairuddin, Mohd Fakrulrazi

"Saya membuat bantahan sejak hari pemilihan berlangsung dan meminta undian pada hari tersebut ditangguhkan tetapi tidak dilayan.

"Saya tengok ketika itu ada perkara yang boleh menyebabkan berlaku ketidaktelusan dan saya dapati petugas JPP ketika itu tidak cukup untuk mengawal keadaan," katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga penyokong calon yang didakwa melanggar peraturan dengan melakukan kesalahan jelas termasuk memakai baju memaparkan gambar calon ketika dalam dewan.

"Bukti termasuk gambar dan video semua kita ada dan akan diserahkan semasa kemukakan bantahan nanti. Saya minta pasukan yang dikesan langgar peraturan tersebut supaya kemenangan mereka boleh dibatalkan atau keputusan kemenangan itu digantung," katanya.

Sementara itu ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang tewas bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Buloh kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa tidak berhasrat mengemukakan bantahan sebaliknya menghormati pilihan dibuat ahli parti cabang tersebut.

"Sebagai parti yang demokratik, semua ahli berpeluang untuk mencuba apa sahaja jawatan. Ini adalah pengalaman pertama kali saya masuk bertanding di peringkat cabang.

"Oleh kerana ini pertandingan dalaman, saya menerima dengan hati terbuka keputusan ahli dan fokus mesti diberikan kepada PRU15," katanya.