Dua ah long warga asing dicekup

Dua lelaki warga asing ditahan bersama 40 keping kad ATM dipercayai milik peminjam yang dicagar kepada pihak sindiket.
Dua lelaki warga asing ditahan bersama 40 keping kad ATM dipercayai milik peminjam yang dicagar kepada pihak sindiket.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua ah long warga asing dalam serbuan di hadapan sebuah bank di Jalan Medan Tuanku dan di sebuah kondominium di Jalan Munshi Abdullah pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, lelaki terbabit ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi melalui serbuan bermula kira-kira jam 10.19 malam itu.

Menurut beliau, pasukan serbuan merampas 40 keping kad mesin juruwang automatik (ATM), lima telefon pintar pelbagai jenama, satu unit komputer, penyata bank, kad akses, kunci dan buku nota serta wang tunai berjumlah RM3,000.

"Modus operandi sindiket ialah meminta peminjam mencagar kad ATM kepada mereka.

"Pengeluaran wang akan dibuat setiap bulan melalui kad tersebut sehingga jumlah pinjaman selesai dan kad ATM dipulangkan semula kepada peminjam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mahidisham berkata, suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ejen yang menyimpan kad ATM terbabit dan akan bertindak melakukan pengeluaran wang setiap bulan.

"Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 2 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen,"ujarnya.