Pulau Pinang tumpu sektor pembuatan, perkhidmatan

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi tumpuan kepada pelaburan daripada sektor-sektor tertentu terutamanya sektor pembuatan dan perkhidmatan dalam usaha memastikan pelabur terus berdaya saing dan kekal dan melabur di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia merangkumi elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralatan perubatan, aeroangkasa, ekonomi digital, perkhidmatan perniagaan global, perekaan 'integrated circuit' (IC) dan projek-projek yang memberi nilai tambahan yang tinggi.

Menurutnya, Pulau Pinang dilengkapi dengan ekosistem yang sempurna, sumber manusia berteknikal mahir dan berpengetahuan, kos operasi yang berdaya saing serta kemudahan menjalankan perniagaan daripada segi ketersediaan infrastruktur dan taman-taman perindustrian bertaraf antarabangsa.

"Kerajaan negeri akan terus fokus dan memperkukuhkan aspek-aspek ini supaya pelabur masih berdaya saing dan boleh terus kekal dan melabur di Pulau Pinang. Bagi memastikan pelabur sedia ada dan pelabur baharu dapat dijaga, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Antara inisiatif tersebut adalah penubuhan Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang pada April 2021. Terma rujukan bagi Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang adalah untuk mempertingkatkan kemudahan dalam menjalankan perniagaan di negeri ini, menjalinkan usahasama untuk mengenal pasti kekuatan dan keupayaan syarikat-syarikat, mempromosikan ekosistem perindustrian serta menjadi suara bersepadu yang mewakili pihak industri," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.

Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong mengenai jaminan kerajaan negeri untuk mengekalkan pelabur di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata, selain inisiatif tersebut, InvestPenang juga menawarkan 'hand holding programme' untuk memberi sokongan dan fasilitasi.

"Ia bagi memudahkan pelabur sedia ada serta pelabur baharu dalam menubuhkan syarikat perniagaan, membina atau menyewa bangunan kilang yang baharu dan memulakan operasi pengilangan.

"InvestPenang juga memainkan peranan penting untuk melancarkan proses pelabur dalam projek pembinaan kilang baharu, sesi pengambilan pekerja dan mengenal pasti tapak sementara sebagai perkhidmatan selepas jualan tanah industri.

"Syarikat domestik atau antarabangsa yang mempunyai pengalaman di Pulau Pinang bukan sahaja akan mengembangkan operasi mereka di Pulau Pinang malah menarik pelabur berpotensi lain untuk turut sama menapak di sini," katanya.

Tambah beliau lagi, bagi menggalakkan pelaburan domestik, kerajaan negeri turut menyediakan tanah industri khas untuk pelabur domestik yang dikelilingi oleh syarikat-syarikat antarabangsa supaya dapat meningkatkan peluang kepada pembekal tempatan untuk mengembangkan peluang perniagaan mereka secara tidak langsung.

Katanya, kerajaan negeri juga menganjur Hari Pembekal bersama syarikat antarabangsa untuk membentangkan cara-cara untuk kilang domestik membekalkan produk atau servis mereka kepada syarikat antarabangsa.