SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka alukan alumni kongsi kepakaran

Majlis Sambutan Aidilfitri Alumni Darul Anuar 2022 yang dimeriahkan dengan 500 tetamu terdiri daripada alumni SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka. Foto: Ihsan SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka
Majlis Sambutan Aidilfitri Alumni Darul Anuar 2022 yang dimeriahkan dengan 500 tetamu terdiri daripada alumni SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka. Foto: Ihsan SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka
A
A
A

KOTA BHARU - Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Darul Anuar Pulau Melaka di sini buat julung kalinya menghimpunkan 500 alumni dan bekas guru sekolah berkenaan sejak penubuhan institusi pendidikan itu pada 1963.

Pengetua SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka, Nik Hamdi Ghani berkata, alumni sekolah tersebut sebelum ini hanya berkumpul dan berkongsi pengalaman berdasarkan tahun persekolahan masing-masing sahaja berbanding himpunan dalam skala yang lebih besar kali ini.

Menurutnya, jumlah alumni itu bukan sepenuhnya dan masih ramai yang belum mendaftar kerana tidak dapat dihubungi.

“Kali pertama kami di SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka mengumpulkan alumni dalam satu himpunan bagi merapatkan kembali ukhuwah yang terjalin semasa zaman persekolahan dahulu.

“Penganjuran julung kali ini mendapat sambutan dengan kehadiran lebih 500 alumni yang ada di antaranya sudah berusia lebih 70 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Turut diadakan Majlis Sambutan Aidilfitri Alumni Darul Anuar 2022 yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga bekas pengetua SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka dan alumni sekolah itu pada Sabtu.

Nik Hamdi berkata, usaha kolaborasi pihak sekolah dengan alumni sangat bermanfaat dalam meningkatkan pencapaian akademik 434 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima sekolah berkenaan menerusi perkongsian kepakaran daripada pelbagai bidang.

“Alumni SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka mempunyai kepakaran dalam perubatan, guaman dan pendidikan yang boleh dikongsi kepada pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka serta meneroka peluang pekerjaan lebih awal.

“Jadi, pihak sekolah amat mengalu-alukan penyertaan alumni untuk kembali berbakti kepada sekolah yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu satu ketika dulu menerusi perancangan seperti program motivasi, kerjaya dan kepimpinan,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan dana bagi pembangunan sekolah yang boleh disalurkan ke akaun SMU(A) Darul Anuar Bank Islam Malaysia Berhad 03018010172469.

“Bagi bekas pelajar sekolah yang ingin menyertai alumni boleh menghubungi nombor telefon pejabat sekolah 09-7654848 atau WhatsApp ke 016-4345848 untuk pendaftaran,” katanya.