Delegasi media Indonesia berlepas ke Malaysia untuk HAWANA

Kerja-kerja terakhir giat dilakukan sebelum sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
Kerja-kerja terakhir giat dilakukan sebelum sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Delegasi media Indonesia seramai 15 orang, berlepas petang Sabtu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini ke Kuala Lumpur, untuk memeriahkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Delegasi diketuai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara.

ISWAMI yang ditubuhkan pada 2009 merupakan inisiatif wartawan Malaysia dan Indonesia bertujuan untuk mengekalkan keharmonian antara kedua-dua negara serumpun.

Turut serta Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia, Atal S Depari, Penasihat ISWAMI Indonesia, Ilham Bintang, Setiausaha Agung ISWAMI Indonesia, N Syamsuddin Ch Haesy.

Delegasi lain terdiri daripada editor utama media Indonesia, Akhmad Munir yang mewakili Antara, Tri Agung Kristanto (Kompas), Teguh Santosa (RMOL), Arifin Asydhad (Kumparan) dan Setri Yasra (Tempo).

Turut serta Pung Purwanto (Koran Sindo), M Taufiqurrahman (Jakarta Post), Alfito Deannova Ginting (Detik.com), Budiyanto (MetroTV), Ecep S Yasa (TVOne) dan Nur Hasan (Republika).

Pelepasan delegasi disempurnakan Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ammil Afiq Jasim.

Sementara itu di Melaka, Setiausaha ISWAMI Malaysia, Mohd Shukri Ishak berkata, delegasi itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.30 petang, akan menghadiri jamuan makan malam bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di A’Famosa Resort, Alor Gajah di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, delegasi itu akan mengadakan lawatan sosial di sekitar negeri itu pada Ahad sebelum menghadiri kemuncak sambutan HAWANA 2022 di Hotel Hatten di sini, yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Delegasi kemudian akan menghadiri jamuan makan malam bersama ISWAMI Malaysia di Putrajaya,” katanya.

Mohd Shukri berkata, pada hari terakhir lawatan delegasi itu, mereka dijadual menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya sebelum minum petang bersama ISWAMI Malaysia dan akan berlepas pulang dari Malaysia keesokannya. - Bernama