X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

PM cadang hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf

Ini merupakan pertemuan bersemuka kali pertama antara Ismail Sabri dan Kishida, bagi mengadakan perbincangan dua hala di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo hari ini. - Foto Bernama
A
A

TOKYO - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Tokyo pada Jumaat, mencadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf kepada 'Comprehensive Strategic Partnership' (CSP).

Dalam pertemuan yang berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun, Ismail Sabri yang diiringi delegasi berprofil tinggi mengadakan perbincangan dua hala dengan Kishida bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin.

Ini merupakan pertemuan bersemuka kali pertama antara Ismail Sabri dan Kishida, bagi mengadakan perbincangan dua hala, sejak kedua-dua pemimpin itu menerajui kerajaan masing-masing pada 2021.

Ismail Sabri dan Kishida sebelum ini pernah mengadakan sidang Jepun-Malaysia melalui panggilan telefon pada 20 April lepas, yang menyaksikan perbincangan kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

"Kita ingin cadangkan supaya ditingkatkan hubungan kita daripada 'strategic partnership' kepada 'comprehensive strategic partnership'," kata Ismail Sabri dalam pertemuan itu.

Hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf daripada 'Enhanced Partnership' ke 'Strategic Partnership' pada 2015.

Pertemuan itu adalah bersempena lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke Jepun, yang menyaksikan Perdana Menteri Malaysia turut mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia, yang merupakan perhimpunan tahunan pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik; di samping bertemu tokoh perniagaan dan korporat di Jepun bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

Ini juga merupakan kali pertama Kishida menjadi hos kepada Perdana Menteri Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lepas.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang telah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!