Ismail Sabri bertemu 23 eksekutif tertinggi, CEO Jepun

Ismail Sabri semasa sesi pertemuan perniagaan dan pertukaran dokumen dengan syarikat Jepun di Tokyo. - Foto Bernama
Ismail Sabri semasa sesi pertemuan perniagaan dan pertukaran dokumen dengan syarikat Jepun di Tokyo. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan berprofil tinggi dengan eksekutif tertinggi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) dari 23 syarikat terkemuka Jepun di Tokyo pada Jumaat untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Jepun.

Mereka terdiri daripada eksekutif tertinggi dan CEO Mitsubishi Corporation, Mitsui & Co Ltd, Marubeni Corporation, AEON Co Ltd, Japan Petroleum Exploration Co Ltd, JERA Co Ltd, ITOCHU Corporation, ADEKA Corporation, Mitsui OSK Line, Daiso Industries Co Ltd, ENEOS Corporation dan Sumitomo Corporation.

Turut hadir eksekutif tertinggi dan CEO Menicon Co Ltd, Ferrotec Holdings Corporation, Idemitsu Kosan Co. Ltd, Chitose Laboratory Corporation, Leave a Nest Co Ltd, Euglena Co Ltd., Toyoda Trike Inc, Asia Development Capital Co Ltd, NTT Corporation, Musashino University dan Mitsubishi Power Ltd.

Antara yang dibincangkan termasuk mengembangkan pelaburan sedia ada mereka di Malaysia, dan beberapa syarikat turut menunjukkan minat untuk melabur di negara ini.

"Perjumpaan ini untuk saya mengenali rapat dengan mereka secara bersemuka. Saya beritahu (mereka) kalau ada permasalahan yang timbul, insya-ALLAH, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan membantu," kata Ismail Sabri selepas sesi ramah mesra bersama komuniti perniagaan Jepun itu.

Beliau berkata, pertemuan itu melibatkan kebanyakan syarikat Jepun yang telah mempunyai pelaburan di Malaysia dan terdapat juga syarikat baharu.

"(Syarikat) Yang lama bercakap soal untuk menambahkan pelaburan dan baharu adalah untuk membuka pelaburan di Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau mengalu-alukan syarikat-syarikat Jepun itu untuk menambah pelaburan dan pelabur baharu untuk melabur di Malaysia atas semangat Dasar Pandang ke Timur.

Mengenai insentif, Ismail Sabri memberikan contoh sebuah syarikat Jepun yang ingin mengembangkan pelaburan di Malaysia telah ditawarkan insentif pengecualian cukai selama lima tahun.

Pada 2021, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan perdagangan bernilai kira-kira RM149 bilion dan pelabur asing ketiga terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia bagi projek yang dilaksanakan bernilai kira-kira RM90.9 bilion. - Bernama