Pemerkasaan PT3 dilaksana melalui 2 kaedah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemerkasaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan dilaksana melalui dua kaedah iaitu mengekalkan Pentaksiran Pusat (PP) sedia ada bagi lima mata pelajaran dan Pentaksiran Sumatif peringkat menengah rendah yang dikendalikan pihak sekolah bagi 18 mata pelajaran yang lain, kata Lembaga Peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan (LP) berkata, PP merujuk kepada pentaksiran yang dilaksana secara perkongsian akauntabiliti antara LP dan pihak sekolah iaitu kertas soalan ujian bertulis disediakan oleh LP dan pentadbiran pentaksiran dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

Pentaksiran Sumatif pula ialah pentaksiran yang dijalankan di akhir suatu pembelajaran seperti peperiksaan akhir tahun, yang bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang pencapaian murid dan dilaksanakan sepenuhnya oleh sekolah, kata lembaga itu.

Lembaga Peperiksaan berkata bagi 2019, kertas soalan bagi ujian bertulis disediakan oleh lembaga itu.

"Bermula 2020 dan beberapa tahun seterusnya kertas soalan bagi ujian bertulis disediakan oleh sekolah menggunakan bank soalan dan panduan yang disediakan oleh LP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin pada 14 Mac lepas berkata antara usaha Kementerian Pendidikan untuk memantapkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah melalui Pemerkasaan PT3 mulai 2020.

Lembaga Peperiksaan berkata format PT3 mulai 2019 telah dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), yang turut mengambil kira pandangan murid, guru, pentadbir dan ibu bapa melalui kajian berkaitan pelaksanaan PT3 yang dijalankan sejak 2015.

"Format baharu ini juga akan digunakan pada 2020 dalam pelaksanaan Pemerkasaan PT3," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lembaga Peperiksaan berkata perubahan format PT3 juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui Surat Siaran LP Bil.5/2018:Format PT3 Bagi Mata Pelajaran KSSM Mulai Tahun 2019 bertarikh 29 November 2018.

JPN juga telah membuat pemakluman kepada sekolah mulai Disember tahun lepas dan maklumat lanjut berkaitan format PT3 juga boleh diperoleh di portal Lembaga Peperiksaan www.lp.moe.gov.my.

“Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan usaha berterusan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran guru dalam bidang pentaksiran pendidikan dilaksanakan bagi menjamin kualiti pentaksiran selaras dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan,"katanya. - Bernama