'Zuraida tak gila kuasa'

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan beliau tidak gila kuasa.

Setiausaha Politiknya, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata, keputusan itu jelas membuktikan bahawa jawatan dan kuasa bukanlah prioriti utama bosnya sejak berkecimpung dalam bidang politik.

"Tindakan berani Zuraida ini telah mengunci rapat mulut-mulut liar yang sebelum ini dengan mudah menuduh beliau gila kuasa dan jawatan apabila memilih bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Sejak menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tahun lalu, beliau telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan menjadikan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai antara kementerian utama dalam meningkatkan pendapatan negara," katanya menerusi kenyataan.

Zuraida pada Khamis mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau juga akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhammad Shazlee memberitahu, Zuraida juga sentiasa memastikan harga komoditi kekal di paras baik bulan demi bulan bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit dan penoreh getah.

"Itu tidak termasuk puluhan siri jelajah dan turun padang bagi mendengar sendiri masalah pekebun kecil sawit dan penoreh, agar kelangsungan hidup kumpulan ini terus terjamin.

"Ketegasan Zuraida tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak pun, apabila beliau dengan berani menentang kumpulan anti sawit di peringkat global, dan membuat pembaharuan pasaran bagi mengekalkan harga komoditi di paras tinggi. Ratusan ribu pekebun kecil dan penoreh mendapat manfaat dari usaha beliau tersebut," ujarnya.

Muhammad Shazlee menambah, dalam tempoh tidak sampai setahun menjadi menteri, Zuraida juga telah mengadakan jelajah komoditi ke lebih 12 negara bagi memastikan sektor komoditi negara kita semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Jelasnya, hal itu terbukti dengan pencapaian pendapatan negara menjangkau RM180 bilion dalam tempoh 100 hari beliau menjadi menteri bagi portfolio berkenaan.

"Inilah kualiti Zuraida terhadap komitmen kerja dan kepentingan rakyat yang membezakan beliau dengan ramai ahli politik lain. Keputusan keluar dari Bersatu buat masa ini adalah didasari keberanian dan prinsip, bukanlah kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri seperti tohmahan ke atas beliau sebelum ini.

"Saya akan sentiasa menyokong kepimpinan beliau, kerana Zuraida terbukti memilih jalan politik mengikut wadah berprinsip, bukan untuk ‘play safe’.

"Saya yakin keputusan beliau menyertai PBM adalah kerana ia merupakan platform terbaik dan paling ‘kena’ dengan jiwa beliau agar dapat terus menyumbang kepada rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, kedudukan, bangsa dan agama," jelasnya.