Bayi perempuan maut dilanggar bas sekolah

Bas yang melanggar mangsa dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi pada Khamis.
Bas yang melanggar mangsa dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Seorang bayi perempuan maut dilanggar bas sekolah dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Siasatan mendapati mangsa berumur setahun empat bulan mengekori kakaknya keluar dari rumah untuk pergi ke bas sekolah di hadapan rumahnya, tanpa disedari oleh kakak mangsa.

"Pemandu bas berkenaan kemudian menyedari bas yang dipandu telah melanggar sesuatu dan mendapati mangsa berada di bawah bas tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian di badan.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Salak dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Pemandu bas merupakan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.