X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Axiata yakin Celcom mampu penuhi syarat sertai kontrak rangkaian 5G

Axiata yakin Celcom berupaya untuk menyertai kontrak rangkaian 5G dan mendapatkan pegangan saham dalam DNB sebelum tarikh tamat ditetapkan kerajaan. Gambar kecil: Izzaddin
A
A

[DIKEMASKINI] AXIATA Group Bhd (Axiata) yakin anak syarikatnya, Celcom Axiata Bhd (Celcom) berupaya untuk menyertai kontrak rangkaian 5G dan mendapatkan pegangan saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB) sebelum tarikh tamat ditetapkan kerajaan iaitu 30 Jun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, Celcom mempunyai pelan cadangan bagi langkah penyertaan tersebut berdasarkan daripada proses ditetapkan DNB.

“Kami sedang mengikuti proses itu dan diharap dapat membuat pengumuman dalam masa terdekat.

“Kami cuba sedaya upaya memenuhi tarikh akhir ditetapkan dan syarat dinyatakan oleh DNB dan penasihatnya. Jadi ya, Celcom akan dapat memenuhi tarikh akhir itu," katanya sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-30 Axiata di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada 23 Mei lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, beliau telah memaklumkan kepada beberapa syarikat telekomunikasi utama bahawa kerajaan tetap dengan pendiriannya berkenaan tarikh akhir penyertaan dalam rangkaian 5G dan pembelian pegangan saham dalam DNB.

Pada ketika ini, hanya Telekom Malaysia dan YTL Communications yang telah berseutju untuk menyertai pelan 5G yang dirancang oleh kerajaan.

Izzaddin memaklumkan, terdapat sebanyak sembilan syarikat penyedia rangkaian mudah alih telah dijemput untuk proses penyertaan ke dalam rangkaian 5G itu antaranya DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd and U Mobile Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Izzaddin berkata, mesyuarat luar biasa yang diadakan selepas AGM kali ini menyaksikan majoriti pemegang saham meluluskan cadangan pelan pengembangan perniagaan rantau syarikatnya di Indonesia melalui pengambilalihan PT Link Net Tbk (Link Net).

Beliau berkata, kelulusan itu merangkumi cadangan tawaran tender mandatori oleh Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd (AII) untuk memperoleh semua baki saham Link Net yang tidak dimiliki oleh AII dan XL Axiata, selepas pengambilalihan, membawa perjanjian itu lebih dekat hingga selesai.

Axiata pada Januari lalu melalui All yang merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya dan XL Axiata mengumumkan pemeteraian perjanjian pembelian saham bersyarat untuk memperoleh agregat 66.03 peratus kepentingan ekuiti dalam Link Net daripada Asia Link Dewa Pte Ltd dan PT First Media Tbk.

Izzaddin berkata, langkah itu bakal membolehkan Axiata untuk memanfaatkan pasaran jalur lebar tetap yang berkembang pesat dan segmen pasaran perusahaan di Indonesia.

Katanya, perluasan perniagaaan telekomunikasi rantaunya itu juga akan mewujudkan sinergi ketara bagi Link Net dan XL Axiata menerusi perkongsian rangkaian yang mampu mencapai 2.9 juta kediaman 23 kota di Indonesia di samping hubungan meluas bersama pelanggan di negara itu.

Sementara itu, Axiata pada sidang media sama turut melancarkan Pelan Hala Tuju Sifar Karbon Axiata yang menetapkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Tiga sasaran objektif utama pelan tersebut ialah mengurangkan pelepasan karbon operasi rangkaiannya sebanyak 45 peratus berbanding berbanding 2020; mengurangkan pelepasan di sepanjang rantaian nilai khususnya daripada punca sumber dikawal tidak langsung dan meyumbang langkah positif terhadap agenda iklim.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!