Cacar monyet: Tahap pengawasan di KLIA dipertingkat

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meraikan beberapa kakitangan kesihatan dan guru pada majjis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan RIMUP di Sekolah Kebangsaan Kuala Gula, pada Khamis. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meraikan beberapa kakitangan kesihatan dan guru pada majjis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan RIMUP di Sekolah Kebangsaan Kuala Gula, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan akan meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan jangkitan cacar monyet tidak merebak ke Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) telah diminta mengumpul sampel dan mengenal pasti penumpang yang menunjukkan simptom bagi mengawal penyakit itu.

"Saringan termasuk pemeriksaan suhu akan dilakukan di semua pintu masuk antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pusat Transformasi Perikanan (FTC) My Komuniti Perikanan di Kampung Tepi Kolam Bukit Merah di sini, pada Khamis.

Menurutnya, setakat ini tiada kes cacar monyet dilaporkan di negara ini dan KKM tidak pernah melindungi sebarang maklumat berkaitan virus berkenaan daripada pengetahuan rakyat selain menasihatkan rakyat yang demam dan mempunyai ruam di mulut supaya mendapat rawatan.

Virus cacar monyet atau monkeypox telah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan lebih 100 kes positif virus itu dilaporkan di seluruh dunia. - Bernama