Dengar jeritan minta tolong dari Tak Bai

Kenderaan orang awam mengalami kerosakan akibat letupan yang berlaku pada Rabu malam.
Kenderaan orang awam mengalami kerosakan akibat letupan yang berlaku pada Rabu malam.
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Insiden letupan bom yang bersilih ganti dengan berbalas-balas tembakan di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand pada Rabu disifatkan 'medan perang' oleh penduduk di kawasan Pengkalan Kubor di sini.

Seorang penduduk, Rozali Abdul Rahim, 57, berkata, kejadian itu disifatkan cukup dahsyat apabila letupan tersebut boleh didengari secara jelas walaupun rumahnya terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Golok.

"Kejadian sekitar jam 9.45 malam itu berlaku ketika saya sedang menikmati makan malam. Letupan itu cukup menakutkan sehingga saya tidak sempat menghabiskan nasi yang dimakan kerana terlampau terkejut.

"Tanpa berlengah saya terus bergegas ke tepi Sungai Golok dan melihat orang ramai telah memenuhi kawasan tersebut untuk melihat lebih dekat kejadian yang berlaku tetapi tidak lama kerana selepas itu pihak polis meminta kami untuk bersurai demi keselamatan," katanya kepada Sinar Harian.

Gambar dari kiri: Che Su, Rozali, Mohamad Musa
Gambar dari kiri: Che Su, Rozali, Mohamad Musa

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi suara orang ramai menjerit dan meminta tolong kedengaran jelas dari Tak Bai.

Bagaimanapun katanya, penduduk di sekitar Pengkalan Kubor hanya mampu berdoa dari jauh dan menahan sebak memikirkan kejadian yang berlaku di sana.

Dia berkata, letupan bom serta bunyi berbalas tembakan berlaku lebih tiga jam sehinggakan semua penduduk sekitar berada dalam keadaan gelisah memikirkan keselamatan kerana jarak lokasi kejadian di Tak Bai dan Pengkalan Kubor tidak sampai 500 meter.

Che Su Ariffin, 50, dari Kampung Derdap, Simpangan berkata, letupan yang berlaku telah menyebabkan rumahnya bergegar sehingga tidur mereka sekeluarga terganggu.

"Saya, isteri dan anak-anak terkejut kerana bunyi letupan serta tembakan seperti peperangan sedang berlaku.

"Bila saya bertanyakan pada jiran tetangga kejadian tersebut berlaku di Tak Bai bukan di sini, kami menarik nafas lega dan berdoa supaya ia berhenti dengan segera," katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku tetapi malam tadi disifatkan lebih dahsyat berbanding kejadian pada 2004 yang hanya melibatkan tembakan.

Che Su berkata, malam tadi letupan dan tembakan berlaku seperti perang di Palestin yang ditonton di kaca televisyen.

Che Su berkata, jarak rumah dengan tempat kejadian 10 kilometer tetapi suasana malam tadi seperti berlaku di depan mata.

Pemandu kereta sewa, Mohamad Musa, 71, berkata, sejak pagi tadi sehingga jam 12 tengah hari sudah tiga kali letupan berlaku dari arah Tak Bai.

"Saya tetap datang ke Stesen Kereta Sewa Pengkalan Kubor walaupun kami dimaklumkan perkhidmatan feri dari Tak Bai ke Pengkalan Kubor tidak beroperasi disebabkan kejadian tersebut.

"Walaupun tiada pelanggan saya dan rakan-rakan yang lain tetap keluar bekerja, kerana sudah menjadi rutin tetapi melihat keadaan hari ini yang sunyi sepi serta letupan masih berlaku, rasanya ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali dibuka kepada orang ramai," katanya.

Pos Marin Thailand yang merupakan tempat lokasi kejadian letupan berlaku.
Pos Marin Thailand yang merupakan tempat lokasi kejadian letupan berlaku.

Sementara itu, penduduk pekan Tak Bai yang mahu dikenali sebagai Che Hat berkata, letupan itu didengari secara jelas walaupun rumah terletak satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Apa yang dapat saya simpulkan kami penduduk di sini seolah-olah berada di medan perang kerana bunyi tembakan dan letupan silih berganti," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu pasukan keselamatan Thailand telah menutup kawasan pekan Tak Bai buat sementara waktu.

Dakwanya, kejadian itu melibatkan serangan pihak pemisah ke atas pasukan keselamatan Thailand.

Tinjauan Sinar Harian di Pengkalan Kubor turut mendengar bunyi letupan dari pekan Tak Bai sekitar jam 11.50 pagi.

Selain itu anggota pasukan keselamatan Thailand turut dilihat membuat rondaan di kawasan perairan negara berkenaan di Sungai Golok.