Kerjasama MN di Selangor masih utuh: Armand Azha

Armand Azha
Armand Azha
A
A
A

SHAH ALAM - "Muafakat Nasional (MN) di Selangor boleh dikatakan sehingga hari ini masih ada lagi kerjasama secara konsisten bersama Pas di negeri ini kerana hubungan baik antara barisan kepimpinan Pas dan UMNO di negeri ini masih diteruskan," demikian kata Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah ketika mengulas tentang isu dakwaan percanggahan dalaman dalam parti tersebut sejak kebelakangan ini.

Beliau menerusi satu hantaran video yang dimuat naik dalam platform TikTok turut mengingatkan para penyokong parti tersebut untuk meletakkan kepercayaan kepada Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bagi memikirkan strategi merampas kembali kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Tidak ada isu mengatakan UMNO Selangor bercanggah pendapat dengan presiden parti dan sebagainya, ini sebahagian daripada pandangan orang luar untuk mencipta keretakan dalam UMNO dan BN di Selangor.

"Saya harap barisan kepimpinan dan penyokong-penyokong parti jangan percaya dengan cerita-cerita di luar yang cuba mencipta keretakan dalam Selangor kerana kita meletakkan keutamaan Selangor jauh di hadapan untuk kembali merampas kerajaan negeri di bawah pimpinan PH," katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, Armand Azha turut menetapkan pendiriannya untuk sentiasa menyokong apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh Noh dan BN serta UMNO di peringkat pusat bagi merampas Selangor kembali.

Katanya, para penyokong perlu perkukuhkan jentera parti di Selangor kerana negeri tersebut merupakan kubu kuat PH.

"Banyak yang dibincangkan secara matang, kukuh tentang cara mengambil pendekatan untuk UMNO dan BN ke arah PRU15.

"Pentingnya kita rapatkan saf untuk perkukuhkan jentera parti di Selangor kerana negeri ini merupakan kubu kuat PH dan perlu merangka pelbagai strategi bagi merampas Selangor.

"Saya yakin Noh dan barisan kepimpinan BN dan UMNO Selangor sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk kita merampas Selangor daripada PH," katanya.

Baru-baru ini, Noh berkata, UMNO Selangor amat mengalu-alukan mana-mana menteri kabinet parti itu untuk bersama-sama turun padang bagi membantu rakyat di negeri ini.

Katanya, kehadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam beberapa program di Selangor bersesuaian dalam keadaan UMNO selaku pembangkang di negeri tersebut.