Syarikat Roche bangunkan kit ujian kesan virus cacar monyet

Syarikat penjagaan kesihatan multinasional Switzerland, Roche. Foto AFP
Syarikat penjagaan kesihatan multinasional Switzerland, Roche. Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Syarikat penjagaan kesihatan multinasional Switzerland, Roche telah membangunkan tiga kit ujian untuk mengesan virus cacar monyet.

Dalam satu kenyataan, yang dipetik Xinhua, Roche memaklumkan syarikat itu dan anak syarikatnya, TIB Molbiol telah membangunkan tiga kit ujian LightMix Modular Virus.

Kit LightMix Modular Virus yang pertama mampu mengesan orthopoxvirus, termasuk semua virus cacar monyet dari kedua-dua virus di barat Afrika dan tengah Afrika.

Sementara kit kedua pula khusus untuk mengesan virus cacar monyet sahaja.

Kit ketiga dikatakan berupaya mengesan orthopoxviruses serta memberikan maklumat sama ada virus cacar monyet ada atau tidak secara serentak.

Cacar monyet, pertama kali dikesan ke atas monyet makmal pada 1958, ia diandaikan menular daripada haiwan liar seperti tikus kepada manusia, atau daripada manusia kepada manusia.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan sehingga Isnin, 19 negara telah melaporkan 131 kes cacar monyet yang disahkan manakala 106 kes disyaki, hampir tiga perempat daripadanya adalah dari Sepanyol, Portugal dan Britain. - Bernama