Jihad perangi kartel ayam perlukan kerjasama semua pihak

Gambar hiasan. - Gambar kecil: Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Gambar hiasan. - Gambar kecil: Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan agresif kerajaan memerangi kartel bagi menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam adalah tepat.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, jihad memerangi kartel ayam akan memberi kesan yang baik apabila langkah berkenaan disusuli dengan tindakan menghapus peranan 'orang tengah' yang gemar memanipulasi harga.

Beliau berkata, cadangan menubuhkan sebuah lembaga khas juga bertepatan bagi mengawal selia rantaian industri ayam sebagai pemangkin utama dan memastikan kelestarian industri untuk menjamin kestabilan bekalan serta harga ayam.

"Bagaimanapun, jihad kerajaan ini bukan sahaja memerlukan sokongan ramai, namun turut memerlukan kerjasama daripada semua peringkat sama ada kementerian-kementerian terbabit, penjawat awam dan orang ramai.

"Malah lebih penting adalah mendapat kerjasama erat daripada para pemain industri ayam negara khususnya penternak dan peniaga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemerkasaan agensi dan jabatan kerajaan meliputi bidang penyelidikan makanan ternakan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan seumpamanya diperlukan khususnya melibatkan sumber asas tani tempatan.

Menurutnya, pemerkasaan ini perlu bagi menghasilkan produk makanan ayam yang berkualiti, namun pada masa sama menawarkan harga yang lebih rendah dan kompetitif untuk mengatasi masalah golongan penternak tempatan yang sebelum ini bergantung pada sumber asas import dari negara luar.

"Sekiranya cadangan-cadangan komprehensif dan bersepadu ini dilaksanakan dengan kerjasama erat dari beberapa buah kementerian, kami yakin usaha jihad memerangi kartel ayam ini bakal mencapai matlamat jangka pendek dan panjang.

"Masalah-masalah yang timbul di dalam rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hingga ke peringkat penjualan dapat diselesaikan termasuk dari sudut harga, kualiti dan bekalan di pasaran semasa," ujarnya.