Ternak lembu baka Brazil tingkat bekalan daging

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengambil langkah proaktif untuk meneruskan kelangsungan bekalan daging dalam negara termasuk usaha membawa masuk baka lembu dari Brazil.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata pegawai di kementeriannya sedang membuat persiapan terakhir untuk menyediakan protokol bagi lembu Brazil yang boleh dibawa masuk ke Malaysia.

"Ia inisiatif yang lebih berani dan proaktif yang akan kita kemukakan termasuk penggunaan teknologi terkini.

"Pemain-pemain lebih gemar untuk menggemukkan lembu sahaja, kemudian jual. Ini tidak bergerak ke mana-mana. Oleh itu kita perlu lihat kepada pendekatan baharu, lebih teliti dan fokus untuk memilih baka-baka yang boleh kita buat untuk pembiakan," katanya di Dewan Rakyat, semalam ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang ingin tahu teknologi yang dibangunkan MOA dalam menambah baik National Feedlot Centre (NFC).

Tambahnya, faktor iklim khatulistiwa yang sama antara Malaysia dan Brazil membolehkan baka lembu dari Brazil diternak di negara ini.

"Kementerian juga dalam perancangan untuk mengenal pasti syarikat dan pengusaha baharu di kawasan penternakan baharu khusus untuk pembangunan industri ruminan, dalam usaha meningkatkan kadar pengeluaran daging negara," katanya.

Terdahulu bagi menjawab soalan asal Che Alias mengenai status penambahbaikan NFC, Salahuddin berkata beliau tidak mahu melanjutkan polemik NFC berikutan ia masih dalam proses perundangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: