UMT teroka kajian perubahan iklim negara

Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar (tiga dari kiri) bersama Co Director Pusat Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Imperial College London, Prof Dr Martin John Siegert (dua dari kiri) serta wakil UMT bergambar bersama selepas menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) pada Isnin.
Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar (tiga dari kiri) bersama Co Director Pusat Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Imperial College London, Prof Dr Martin John Siegert (dua dari kiri) serta wakil UMT bergambar bersama selepas menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) dengan Pusat Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Imperial College London bagi menjalin kerjasama penyelidikan dalam bidang perubahan iklim dan alam sekitar.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, kerjasama yang termeterai itu adalah hasil perbincangan semasa kunjungan beliau bersama pegawai UMT ke pusat penyelidikan berkenaan yang bertempat di London pada Isnin.

Menurut beliau, UMT komited dalam usaha menjadi peneraju kajian perubahan iklim berkaitan sumber akuatik di Malaysia, seiring dengan objektif yang telah digariskan dalam dasar perubahan iklim negara.

"Inisiatif untuk mengarusperdanakan agenda perubahan iklim dalam usaha mengurangkan impak negatif perubahan iklim terutama dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber dan ekosistem akuatik merupakan isu utama yang hangat dibincangkan pada masa kini.

"Keseimbangan kerjasama antara institusi terunggul dalam bidang ini mampu memberi nilai tambah kepada penyelidikan yang bakal dinikmati oleh semua lapisan masyarakat kerana hasil kajian tidak akan hanya berakhir di dalam makmal sahaja tetapi ianya perlu disebarluaskan ke semua peringkat terutamanya bagi kesedaran komuniti sekitar.

"Kunjungan hormat UMT ini telah membincangkan pelbagai kerjasama penyelidikan bagi faedah kedua-dua institusi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mazlan berkata, antara kerjasama itu adalah penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubahan iklim yang memfokuskan kepada bidang tujahan UMT iaitu marin dan sumber akuatik, pertukaran penyelidik dan pelajar serta permohonan geran bersama.

"Semoga ia menjadi platform yang baik buat UMT untuk menjadi institusi peneraju penyelidikan perubahan iklim di Malaysia dan pada masa yang sama jaringan kerjasama ini mampu menaikkan citra dan kedudukan UMT di persada dunia," katanya.