[VIDEO] Berebut teman wanita punca pergaduhan di restoran

Tangkap layar insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran pada Selasa.
Tangkap layar insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Gara-gara berebut teman wanita, seorang remaja antara lapan individu diberkas dalam kejadian pergaduhan di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, Pandamaran di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.10 pagi.

Menurutnya, siasatan dijalankan berdasarkan satu video tular memaparkan beberapa orang individu bersenjatakan kayu besbol yang bertindak memukul seorang lelaki.

"Bertindak atas kejadian, sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan dan juga D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor telah melakukan beberapa siri tangkapan terhadap lapan lelaki berumur antara 14 hingga 21 tahun di sekitar Kapar dan Klang.

"Turut dirampas beberapa telefon bimbit, beberapa helai pakaian, sebuah kereta dan dua batang besi besbol," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah.

"Pengakuan awal mendapati kesemua tangkapan mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan siasatan mendapati kejadian ini berpunca daripada perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah.

"Namun begitu campur tangan dari rakan-rakan suspek dan mangsa telah membawa kepada unsur-unsur gangsterism iaitu kumpulan kongsi gelap," katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, semakan rekod mendapati dua daripada lapan suspek yang diberkas mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kesemua tangkapan telah dibawa untuk perintah reman di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Klang, Selangor dan dibenarkan reman selama tiga dan enam hari.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan," katanya.