Lelaki rebah ditembak tepi kereta

Mangsa rebah dipercayai ditembak dengan beberapa das tembakan dalam kejadian di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah pada Rabu. Foto tular media sosial
Mangsa rebah dipercayai ditembak dengan beberapa das tembakan dalam kejadian di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah pada Rabu. Foto tular media sosial
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditemukan maut bersebelahan kereta miliknya akibat ditembak sekurang-kurangnya lapan das tembakan dalam kejadian berdekatan lampu isyarat Jalan Kampung Baru di sini pada Rabu.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 36 tahun berasal dari Bedong, singgah ke sebuah restoran bersama keluarga bagi membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Mangsa dikatakan ditembak pada jarak dekat ketika sedang berjalan menuju ke kereta jenis Toyota Vellfire yang diparkir di hadapan restoran berjarak kira-kira 10 meter.

Wan Hassan (dua dari kanan) ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wan Hassan (dua dari kanan) ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, polis menemui lapan kelonsong peluru berdekatan mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila empat suspek menaiki dua buah motosikal muncul dengan dua daripadanya menghampiri mangsa pada jarak kira-kira satu meter sebelum melepaskan tembakan.

"Mangsa maut di lokasi kejadian dengan kecederaan di badan dan muka disebabkan tembakan jarak dekat," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakan, isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak angkat mangsa.

Mangsa maut ditembak ketika sedang berjalan ke kereta sebaik selesai membungkus makanan di sebuah restoran.
Mangsa maut ditembak ketika sedang berjalan ke kereta sebaik selesai membungkus makanan di sebuah restoran.

"Ketika kejadian, isteri dan anak mangsa dipercayai masih berada di dalam kedai.

"Ketika mangsa keluar, kita percaya dua buah motosikal yang dinaiki empat lelaki yang memakai penutup muka dan jaket muncul, semasa mangsa nak masuk kereta, suspek telah pergi ke mangsa dan melepaskan tembakan dengan jarak tak sampai kira-kira satu meter," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui lapan kelonsong peluru berdekatan mangsa.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati mangsa merupakan individu dikehendaki polis membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, gengsterism dan pengedaran dadah.

"Setakat ini, kita belum dapat pastikan motif kejadian, siasatan terperinci masih dijalankan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan akan memanggil saksi terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.