'Mazlina cuai tak guna cek peribadi saya, bayar kad kredit, insurans'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembayaran kredit kad dan polisi insurans menggunakan cek Yayasan Akalbudi (YAB) berlaku kerana kecuaian bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly sedangkan baki dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencecah sehingga lebih setengah juta ringgit.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana YAB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika dirujuk baki wang dalam akaun Maybank miliknya oleh peguam Hamidi Mohd Noh, Ahmad Zahid berkata, antara tahun 2014 dan 2016, baki minimum direkodkan adalah sebanyak RM100,000 manakala maksimum RM600,000.

Menerusi penyata kad kredit, beliau berkata, ia menunjukkan bil terendah dalam tempoh sama adalah sebanyak RM600 sementara tertinggi adalah RM215,000.

“Berbekalkan jumlah itu, ia adalah lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit peribadi dan polisi insurans saya.

“Yang Arif, mungkin ini kerana kecuaiannya (Mazlina) kerana tidak menggunakan cek daripada akaun peribadi saya untuk membayar semua kad kredit dan polisi insurans,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Mazlina sendiri mengakui melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran tersebut.

Dalam prosiding terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang juga saksi pendakwaan ke-90 merupakan bekas Setiausaha Eksekutifnya.

Beliau berkata, telah memberikan tanggungjawab kepada Mazlina untuk menguruskan cek peribadi dan cek Yayasan Akalbudi serta menguruskan perbelanjaan peribadinya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, Mazlina tidak pernah menyerahkan sebarang penyata bank bulanan dan baki wang di bank, meskipun telah memintanya untuk berbuat demikian beberapa kali.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah bersambung petang ini.