PRU15: PH, PN sudah boleh mula bincang agihan kerusi

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah boleh mula berbincang berkenaan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perbincangan itu perlu mencari jalan yang pragmatik serta praktikal untuk mengelak PH dan PN bertembung sesama sendiri.

Menurutnya, pertembungan sesama sendiri dalam PRU15 nanti, kesudahannya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menang, bukan kerana UMNO dan BN kuat tetapi kerana pembangkang berpecah dan berperang sesama sendiri.

"Peraturan mudah boleh diguna pakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati.

"Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu dan PN perlu hormati. Mungkin 50 peratus pengagihan kerusi dapat diselesaikan, kemudian yang bermasalah 50 peratus lagi boleh bincang baik-baik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Jumaat, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini PN masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan PH untuk bergabung pada PRU15.

Beliau berkata, bagaimanapun sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.

Mengulas lanjut Hassan berkata, tidak dinafikan akan wujud masalah praktikal di beberapa tempat misalnya di Muar sebelum ini dimenangi Bersatu, tetapi kini sudah berubah apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berada dalam Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

"Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan syarat, berlapang dada dan berbincang," katanya.