Warga emas kena pukul adakan sidang media esok

Keratan portal akhbar Sinar Harian pada Ahad.
Keratan portal akhbar Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pesara warga emas yang dipukul seorang penunggang motosikal berhampiran jejantas di Padang Jawa pada Ahad lalu dijadualkan mengadakan sidang media pada Rabu.

Anaknya, Muhammad Azzali Zainoldin, 32, berkata, sidang media pada jam 11 pagi itu diadakan di rumah keluarganya beralamat di Lot 622B 10 Jalan Bilal Wondo, Kampung Padang Jawa di sini.

Menurutnya, ahli keluarga berasa terpanggil untuk menceritakan perkara sebenar kepada umum bagi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap bapa mereka, Zainoldin Hussain, 61.

"Sidang media ini diadakan kerana kita tidak mahu masyarakat membuat pelbagai spekulasi hingga mengundang fitnah dan aib kepada keluarga kami," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Azzali berkata, kejadian berlaku sewaktu bapanya itu dalam perjalanan ke rumah besannya di Putrajaya.

Katanya, ahli keluarga meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu lebih-lebih lagi bapa mereka menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, selain merupakan pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan hemodialisis.

"Dalam kejadian itu, ayah turut mengalami sakit pada bahagian kepala, mata kiri dan rusuk," jelasnya.

"Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini dan berharap esok (Rabu) kita dapat memberi penjelasan sebenar terutama dalam keadaan emosi ayah terganggu," ujarnya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang penunggang motosikal memukul lelaki warga emas di Padang Jawa pada Ahad.

Penunggang motosikal berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan kira-kira jam 2 petang Isnin.