Warga emas tikam diri sendiri
Dalam kejadian jam 10.40 pagi tadi, mangsa, Lam Ho Chen, 84, mengalami empat tikaman di perut yang mana salah satunya sedalam empat sentimeter.
Bagaimanapun, mangsa kini dilaporkan stabil di Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa bertindak menikam dirinya sendiri selepas berang dengan anaknya yang membawanya ke HPP untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, dari keterangan anak mangsa, bapanya sering mengugut untuk membunuh diri sekiranya dibawa ke hospital.
"Kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Flat Sri Saujana, Macallum di sini ketika anak mangsa sedang bekerja di kedai tersebut.
Anak mangsa memberitahu, bapanya yang menghidapi masalah jantung dan sakit tua selalu mengugut untuk membunuh diri jika dibawa ke hospital.
"Namun pagi tadi, anaknya tidak menyangka bapanya benar-benar menikam dirinya sendiri menggunakan pisau untuk membunuh diri.
Mangsa menikam empat kali di perutnya mengakibatkan dia mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi tadi.
Che Zaimani berkata, ketika di bawa ke HPP, mangsa masih sedarkan diri dan stabil.
Tambahnya, mangsa akan menjalani pemeriksaan x-ray bagi mengetahui perkembangan kecederaannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.