X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kerajaan siasat kewujudan kartel ayam: PM

Gambar hiasan.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang menyiasat tentang dakwaan wujudnya kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit sekiranya wujud kesepakatan kartel dalam isu harga dan bekalan ayam.

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

"Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," tegasnya.

Tambah Ismail Sabri, peranan dan penglibatan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga akan dikurangkan.

"Kerajaan akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuainya," katanya.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan koperasi digesa turut terlibat dalam penternakan ayam.

"Kerajaan akan mengkaji bantuan kepada mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga dipanggil pada mesyuarat hari ini dan telah menasihatkan kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

"Tindakan boleh diambil di bawah akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta-merta," jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!